Mangsa banjir Kelantan naik mendadak
Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat secara mendadak kepada 224 orang membabitkan 72 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Bachok dan sebuah lagi di Pasir Mas, setakat 8 malam tadi.
Ia berbanding 63 mangsa banjir (18 keluarga) berlindung di dua PPS di Pasir Mas dan Pasir Puteh semalam.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, dua PPS aktif di Bachok ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor yang menempatkan 49 mangsa banjir (12 keluarga) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Jelawat dengan 90 orang (30 keluarga).
Di Pasir Mas pula, seramai 85 mangsa banjir (30 keluarga) berada di PPS SK Tok Deh.