Bukit Tinggi dilanda banjir kilat

BENTONG – Beberapa kawasan di Bukit Tiggi di sini dilanda banjir kilat malam tadi menyebabkan beberapa jalan dinaiki arus deras sehingga mengakibatkan kerosakan pada kenderaan dan harta orang awam.

Berdasarkan rakaman video yang tular, kelihatan orang ramai cuba menyelamatkan kenderaan penduduk daripada dihanyutkan arus deras.

Kejadian itu turut disahkan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman yang memaklumkan kejadian berlaku kira-kira pukul 10 malam.

“Saya telah turun ke kawasan banjir di Bukit Tinggi dan bertemu dengan penduduk di sini untuk keadaan terkini. Walaupun air kelihatan surut, dan kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan, air daripada atas bukit masih lagi turun dengan laju.

“Saya juga bertemu dengan OCS Balai Bukit Tinggi, Balai Polis Genting, Balai Polis Bentong serta pasukan Bomba dan Penyelamat Bentong untuk melihat sendiri laluan di Janda Baik yang terputus dan tanah runtuh yang mengakibatkan pokok besar tumbang dan menghalang laluan,” katanya menerusi status yang dimuat naik di media sosial.

Menurut beliau, pihaknya telah meminta kerjasama pihak Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim untuk melawat segera kawasan yang terlibat supaya kerja-kerja baikpulih dapat dilakukan segera.

Susulan kejadian itu katanya, pengusaha-pengusaha chalet, rumah inap dan juga para pengunjung yang berkhemah di Janda Baik dan Bukit Tinggi diminta untuk sentiasa waspada dengan keadaan cuaca semasa dan mematuhi arahan pihak berkuasa jika terdapat keperluan untuk berpindah. – KOSMO! ONLINE.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *