Khidmat Malaysia gerak operasi bencana ribut di FELDA

PADANG TERAP: Sebanyak 60 rumah berjaya dibaiki dan dibaik pulih dengan penglibatan 250 sukarelawan pada program Gotong-Royong Perdana Bencana Ribut FELDA Lubuk Merbau, di sini semalam.

Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) menggerakkan usaha sumbangan bantuan dan tenaga tersebut bagi meringankan beban mangsa yang terlibat.

Selain anggota Jabatan Amal, Alternatif Riding Club (ARC), sukarelawan datang juga dari beberapa kawasan seperti Sik, Jerlun, Pendang, Kubang Pasu dan Alor Setar, selain disertai wakil dari Terengganu, Perak dan Selangor.

Ketua Pengarah Khidmat Malaysia, Ustaz Nurul Amin Hamid berkata, operasi membantu mangsa-mangsa ribut tersebut telah dimulakan sejak hari kedua kejadian lagi.

Kerja gotong-royong yang dijalankan oleh sukarelawan, selain membaiki rumah iaitu menggantikan bumbung rosak atau tercabut, operasi membersih sisa-sisa ribut juga digerakkan.

Termasuk memotong serta menebang 20 batang pokok tumbang dan patah serta mencuci tujuh rumah yang basah ditimpa hujan lebat pada kejadian tersebut.

Pada hari kedua kejadian, sukarelawan Khidmat Malaysia juga telah menggerakkan Dapur Rakyat dengan menyediakan 300 pek makanan untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa terlibat.

Sukarelawan yang berkhidmat sehari suntuk itu, terlebih dahulu berkumpul di PASTI Ulul Azmi, FELDA Lubuk Merbau, untuk diberi taklimat sebelum turun ke lokasi menjalankan tugas.

Pada majlis yang dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya diikuti serahan sumbangan untuk membantu mangsa-mangsa ribut juga diadakan.

Kejadian 13 April lalu, telah mengakibatkan 200 rumah terjejas, membabitkan 181 rumah di FELDA Lubuk Merbau dan selebihnya di tiga kampung lain iaitu Kampung Baru Tapang, Kampung Berjaya dan Kampung Dusun.

Sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu di Dewan Badminton, Felda Lubuk Merbau, turut dibuka bagi menempatkan mangsa yang rumahnya terjejas teruk akibat kejadian berkenaan.

Angin kencang yang berlaku selama 15 minit itu, telah mengakibatkan kerosakan rumah pada bahagian bumbung dan dinding akibat dihempap pokok dan diterbangkan angin.

Kejadian itu juga menyebabkan seorang tercedera, walau bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilapor berlaku.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu, Mohd Radzi Md Amin, bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja maklumat diterima untuk meninjau perkembangan awal dan menemui mangsa-mangsa kejadian. – SUMBER DARIPADA  HARAKAHDAILY 21/4/2026

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *