LAPORAN INSIDEN LETUPAN PUTRA HEIGHTS: KHIDMAT MALAYSIA DESAK WUJUDKAN JAWATANKUASA BEBAS SEMAK DAN IMBANG LAPORAN SEDIA ADA

1 Julai 2025 | Kuala Lumpur
Khidmat Malaysia menzahirkan rasa dukacita terhadap insiden letupan gas yang berlaku di Putra Heights 1 April 2025 yang lalu. Insiden yang meranapkan sebahagian besar kediaman sehingga kini masih belum pulih sepenuhnya. Terima kasih diucapkan kepada agensi mahupun syarikat milik kerajaan (GOC) yang telah mengambil inisiatif untuk membina semula dan juga membantu dalam baik pulih kediaman mangsa yang telah musnah. Namun begitu, Khidmat Malaysia juga merasa terkejut dan kecewa bila mana merujuk kepada laporan rasmi berhubung kejadian tersebut yang dikeluarkan pada 30 Jun 2025, yang kami anggap gagal menjawab persoalan-persoalan asas yang membelenggu penduduk setempat.
Laporan tersebut, walaupun memberikan kronologi asas kejadian, masih mengelirukan dan terlalu umum, tanpa memberikan:
- Butiran teknikal sebenar punca letupan,
- Penjelasan terhadap tahap pematuhan piawaian keselamatan, dan
- Identiti pihak yang sepatutnya bertanggungjawab.
Khidmat Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya kelewatan dan kelemahan dalam tindakan serta komunikasi pihak berwajib. Lebih malang, penduduk yang telah kehilangan tempat tinggal, mengalami trauma dan kerosakan harta benda masih tidak mendapat jaminan pampasan atau pelan pemulihan yang jelas serta yang paling penting setimpal dengan kerosakan yang dihadapi.
Kami menuntut agar pihak kerajaan dan agensi berkaitan tidak berselindung di sebalik laporan teknikal yang kabur, sebaliknya tampil dengan penjelasan terbuka dan komprehensif. Persoalan-persoalan utama berikut masih belum dijawab:
- Apakah punca sebenar letupan ini? Laporan rasmi hanya menyebut “kebocoran gas” tanpa memperincikan sama ada ia berpunca daripada kecuaian manusia, kerosakan sistem, atau kelulusan pemasangan yang tidak sah.
- Mengapa tiada sistem amaran awal atau pemantauan berkesan dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan atau Suruhanjaya Tenaga?
- Adakah penduduk pernah membuat aduan berkenaan bau gas sebelum ini? Jika ada, adakah tindakan segera telah diambil?
- Siapakah yang akan menanggung kos kerosakan harta dan rawatan mangsa yang cedera?
- Mengapa masih tiada seorang pun individu atau syarikat didakwa secara rasmi dalam tempoh 72 jam selepas kejadian?
Kami percaya bahawa ketelusan, keadilan dan keselamatan awam tidak boleh dikompromi dalam mana-mana keadaan, lebih-lebih lagi apabila nyawa dan harta rakyat menjadi taruhan.
Khidmat Malaysia menggesa agar satu jawatankuasa bebas ditubuhkan bagi menyemak semula laporan 30 Jun 2025 tersebut. Ini merupakan langkah yang penting memandangkan seluruh negara bahkan seluruh dunia memalingkan lensa ke arah isu ini selama 3 bulan dengan penuh kesabaran dan perasaan yang pelagai. Di samping itu, Khidmat Malaysia secara konsisten mendesak agar bantuan kewangan yang setimpal dan sokongan psikososial disegerakan kepada semua mangsa tidak mengira status kerosakan mahupun status kependudukan mereka di kawasan terjejas bencana. Pastinya yang paling utama, individu atau entiti yang cuai perlu dikenakan tindakan undang-undang yang tegas tanpa kompromi sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
Akhir sekali, Khidmat Malaysia akan terus memantau dan membantu mangsa insiden ini, sambil menuntut keadilan dan ketelusan daripada semua pihak yang berwajib. Harus diingat, pendedahan rasmi siapa yang perlu dipertanggungjawabkan adalah sangat penting bagi memberi ruang kepada para mangsa membuat tuntutan penuh terhadap kerosakan, kehilangan dan kemusnahan harta benda masing-masing.
Dikeluarkan oleh:
MOHD ASHRUL HISYAM BIN ABDUL JALIL
KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF
KHIDMAT MALAYSIA
Tarikh: 1 Julai 2025