Kelantan cadang bina 15 pusat pemindahan kekal di semua jajahan banjir

Kerajaan negeri bercadang untuk membina 15 pusat pemindahan kekal (PPK) di semua jajahan yang terbabit banjir di Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, Datuk Mumtaz Md Nawi, berkata sebanyak 15 lokasi seluruh negeri sudah dikenal pasti membabitkan 12 kawasan tanah kerajaan.

Katanya, baki tiga lagi lokasi perlu dibuat pengambilan balik tanah, iaitu Padang Pak Amat, Cherang Ruku dan Changgai di jajahan Pasir Puteh.

Beliau berkata, lokasi berkenaan meliputi tiga di Pasir Puteh; masing-masing dua di Kota Bharu, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang; serta masing-masing satu di Tumpat, Pasir Mas, Machang serta Jeli.

“Kerajaan negeri juga berbincang dengan pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk membina sekurang-kurang tiga PPK dulu, iaitu Kompleks Kebajikan Madinah As Salam di Kota Bharu; Kampung Pengkalan Nangka, Tumpat; dan Kampung Kelapa Wangi, Pasir Mas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Rodzi Ja’afar (PAS-Gaal) pada Persidangan Keempat Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Ke-14 di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Menjelaskan lanjut, Mumtaz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit berkata, PPK berkenaan akan digunakan dalam segala hal membabitkan krisis dan bencana, bukan saja banjir.

“Kita melihat kadang-kadang pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka menggunakan sekolah dan ia mengganggu sistem persekolahan. Bencana banjir berlaku tidak menentu dan mengikut musim.

“Justeru, PPK diperlukan untuk kemudahan rakyat,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ramli Mamat (PAS-Bunut Payong) sama ada praktikal PPK dibina sedangkan banjir hanya membabitkan tempoh singkat.

BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN .. BERAMAL KERANA ALLAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *