Isteri MB Kedah Bersama Team PIKAT dan Khidmat Malaysia Edar Sumbangan Kepada Mangsa Banjir Hingga Larut Malam

Alor Setar, – YABhg Tok Puan Hajah Jusmalailani, isteri kepada YAB Dato’ Seri Menteri Besar Kedah, bersama pasukan Pusat Khidmat Rakyat (PIKAT) turun padang menyantuni mangsa banjir dan mengedarkan sumbangan kepada mereka di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta lokasi terjejas sekitar Anak Bukit dan Jitra, semalam.

Konvoi sumbangan yang penuh dengan keperluan asas seperti lampin bayi dan dewasa, tuala wanita, pakaian dalam, makanan, dan minuman bergerak ke beberapa lokasi sejak awal hari hingga destinasi akhir di Bilik Operasi Khidmat Malaysia Kedah. Barang-barang ini akan diselaraskan untuk agihan seterusnya kepada mangsa banjir yang memerlukan.

“Alhamdulillah, ini sedikit rezeki untuk kita kongsikan bersama. Kami ingin memastikan setiap mangsa banjir menerima bantuan yang sewajarnya. Terima kasih kepada semua penyumbang dermawan yang telah membantu,” ujar Tok Puan Hajah Jusmalailani.

Pasukan ini menyelesaikan misi mereka sekitar jam 2.30 pagi, menzahirkan komitmen dan dedikasi tinggi dalam membantu mereka yang terjejas.

Penghargaan turut diberikan kepada Perniagaan Mazlan & Hashimah yang bukan sahaja menyumbangkan barangan, tetapi juga menyediakan kemudahan lori pengangkutan yang lengkap dan efisien.

“Kerjasama seperti ini amat bermakna, terutama dalam keadaan getir pasca banjir. Terima kasih atas sokongan semua pihak,” tambah Tok Puan.

Usaha ini mencerminkan semangat kebersamaan dan kepedulian masyarakat Kedah dalam memastikan bantuan sampai kepada yang memerlukan. Semoga inisiatif ini terus menjadi inspirasi kepada ramai untuk berganding bahu membantu komuniti yang terjejas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *