Bulan Sabit Merah Malaysia Lawat Bilik Operasi dan Dapur Rakyat Khidmat Malaysia Kedah

Pokok Sena, 4 Disember 2024 – Khidmat Malaysia Kedah menerima kunjungan hormat daripada pasukan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) yang diketuai oleh En. Agilan a/l Munusamy pagi ini. Lawatan yang berlangsung pada jam 9.00 pagi itu diadakan di Bilik Operasi dan Dapur Rakyat Khidmat Malaysia Kedah.

Ketibaan rombongan BSMM disambut mesra oleh Tuan Saifuddin Hassan, Setiausaha Khidmat Malaysia Kedah. Lawatan ini bertujuan mengukuhkan kerjasama antara organisasi sukarelawan dalam usaha memberikan bantuan kepada masyarakat, khususnya dalam menangani bencana seperti banjir.

Dalam sesi pertemuan, kedua-dua pihak bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman mengenai operasi bantuan serta peranan penting sukarelawan dalam membantu mangsa bencana. Pasukan BSMM juga diberi penerangan mengenai fungsi Bilik Operasi dan Dapur Rakyat, yang menjadi pusat penting dalam mengkoordinasi bantuan dan menyediakan makanan kepada mangsa bencana di Kedah.

Menurut Tuan Saifuddin Hassan, kerjasama dengan BSMM adalah amat dialu-alukan untuk memperkuatkan lagi gerak kerja bantuan kemanusiaan di peringkat negeri.

“Kehadiran Bulan Sabit Merah Malaysia hari ini menunjukkan semangat solidariti yang tinggi. Kami berharap kerjasama ini dapat memberi impak yang lebih besar dalam membantu masyarakat yang memerlukan,” ujarnya.

Lawatan ini turut mencerminkan komitmen kedua-dua organisasi dalam memupuk hubungan strategik demi memastikan bantuan yang disalurkan kepada mangsa bencana lebih berkesan dan menyeluruh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *