Cuaca cerah di Johor, bilangan mangsa banjir terus menurun

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Johor direkod berkurangan dengan angka terkini 38,587 mangsa membabitkan 10,757 keluarga setakat jam 8 pagi ini.

Jumlah itu menurun berbanding 39,677 orang membabitkan 11,078 keluarga berdasarkan kemas kini setakat jam 8 malam tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata tiada pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup dan semua mangsa banjir kini ditempatkan di 123 PPS yang masih beroperasi di empat daerah terjejas.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor berkata, empat daerah yang masih terjejas banjir adalah Batu Pahat, Muar, Segamat dan Tangkak.

“Batu Pahat terus mencacatkan jumlah mangsa tertinggi, namun berkurangan kepada 37,827 orang membabitkan 10,526 keluarga yang kini ditempatkan di 109 PPS.

“Penurunan mangsa banjir juga dicatatkan di Muar dengan 504 mangsa daripada 157 keluarga di lima PPS, manakala di Segamat berkurangan kepada 193 orang daripada 52 keluarga di tujuh PPS.

“Di Tangkak, bilangan mangsa banjir kekal 63 orang membabitkan 12 keluarga yang ditempatkan di dua PPS,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) tidak mengeluarkan sebarang amaran hujan berterusan mahu pun ribut petir di mana-mana daerah di negeri ini.

Laporan pemantauan cuaca sebenar juga menunjukkan semua 10 daerah di negeri ini cerah.

Sementara itu 12 jalan di Batu Pahat masih ditutup akibat banjir, sama ada bagi laluan semua kenderaan atau dibuka untuk kenderaan berat sahaja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *