Kaedah cegah banjir secara struktur, bukan struktur
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah mengambil langkah kaedah pencegahan banjir secara struktur dan bukan struktur bagi langkah mitigasi banjir.
Menurutnya, bagi pendekatan secara struktur, projek tebatan banjir dibina dengan pelbagai kombinasi struktur, seperti empangan, ban atau levee, kolam takungan, rumah pam dan sebagainya.
“Manakala strategi pendekatan bukan struktur seperti pengeluaran ramalan dan amaran awal banjir,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Wan Razali Wan Nor [PN-Kuantan] di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahli parlimen itu dalam soalannya meminta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan pelan perancangan bagi mengatasi masalah banjir di kawasan yang berisiko khususnya kawasan yang berhampiran dengan sungai.
Kementerian juga memberitahu melaksanakan pendekatan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (Integrated River Basin Management, IRBM).
Pendekatan IRBM itu, ujarnya memerlukan penglibatan semua pihak berkepentingan dalam pemeliharaan kuantiti dan kualiti sumber air dalam pengurusan lembangan sungai.
Tambahnya, terdapat empat objektif utama dalam pendekatan IRBM iaitu memastikan air mencukupi, memastikan air bersih, mengurangkan risiko banjir dan meningkatkan pemuliharaan alam sekitar.
Melalui pelan IRBM, katanya cadangan perancangan dan pembangunan sumber air sesebuah lembangan boleh dijadikan rujukan oleh pihak kerajaan negeri dan semua pihak berkepentingan.
“Dalam merancang pembangunan, kesan terhadap kelestarian alam sekitar perlu diberikan perhatian terutamanya sumber air,” ujarnya.
Selain itu, jelasnya di bawah Rolling Plan 3 (RP3) RMKe-12, sebanyak 212 projek baru dan sambungan berjumlah RM918 juta telah diluluskan bagi pembangunan sementara sehingga Jun 2023 untuk kerja-kerja mengatasi masalah banjir di kawasan berisiko khususnya kawasan berhampiran dengan sungai. – HARAKAHDAILY 8/3/2023