Banjir: Pembangunan tidak seiring dengan sistem saliran
KUALA LUMPUR: Kepesatan pembangunan di kawasan Meru, Sementa dan Selat Klang dan kemampuan sistem saliran dan perparitan utama di kawasan tersebut adalah tidak seiring, kata Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
Ini, katanya menyebabkan kejadian banjir kerap berlaku kerana sistem saliran dan perparitan tidak lagi mampu untuk menampung aliran air yang banyak setiap kali hujan lebat berterusan melebihi satu jam.
Di samping itu, jelasnya pembinaan struktur seperti jambatan dan utiliti yang menghalang aliran sungai serta jumlah sampah-sarap yang banyak turut menyekat aliran air ke sungai-sungai utama.
Kementerian itu menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Dr Halimah Ali [PN-Kapar] di Dewan Rakyat hari ini.
Dr Halimah dalam soalannya meminta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan tindakan komprehensif kementerian untuk mengatasi masalah banjir berulang di Meru, Sementa dan Selat Klang dan perincikan kos dan masa dijangka siap projek.
Bagi mengatasi masalah itu, kata kementerian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor telah diperuntukkan sebanyak RM20 juta untuk pemuliharaan sungai pada 2022.
Daripada peruntukan tersebut, ujarnya JPS Negeri Selangor telah membelanjakan sebanyak RM1.38 juta khusus untuk kawasan Meru, Sementa dan Selat Klang bagi lima projek mitigasi jangka pendek yang telah siap sepenuhnya pada tahun 2022.
Menurutnya, projek-projek itu ialah kerja-kerja membaikpulih tebing parit Jalan Sungai Kandis dan Membersih Saliran Pintu Air di Kampung Sungai Kandis bernilai RM95,405.00 siap pada 20 Jun 2022, kerja-kerja penstabilan tebing Sungai Klang di Tanjung Syawal bernilai RM400,210.00 dan kerja-kerja penstabilan tebing Sungai Aur dari Jalan Seruling 59 ke Jalan Langat bernilai RM663,668 siap pada 27 Julai 2022;
Selain itu, kerja-kerja penstabilan tebing anak Sungai Klang di Jalan Palembang dengan kos sebanyak RM199,740 siap pada 24 Ogos 2022 dan kerja-kerja pengukuhan tebing sungai di pintu air Sungai Daun Rantau Panjang dengan kos sebanyak RM25,460 yang siap pada 28 September 2022.
Selain itu, katanya Kerajaan Negeri Selangor juga telah memperuntukkan sebanyak RM67.5 juta kepada JPS Negeri Selangor bagi melaksanakan beberapa projek mitigasi jangka Panjang yang masih dalam peringkat penilaian tender dan laporan akhir reka bentuk. – HARAKAHDAILY 8/3/2023