Khidmat Malaysia antara NGO yang terawal
Hujan yang berterusan selama beberapa hari akhirnya berhenti pada Ahad, 5 Mac yang lalu. Melihat kepada keadaan semasa kita sudah dapat bayangkan apa yang sedang dialami oleh keluarga mangsa.
Johor menjadi negeri yang paling teruk terjejas pada banjir kali ini. Banjir kilat yang melanda di banyak tempat menyebabkan ramai yang tidak bersedia dan hanya mampu melihat. Hampir 50 000 mangsa yang berada di PPS dan 5 nyawa telah terkorban.
Di Kahang, ada di antara mereka yang terputus jalan akibat paras air yang naik dengan cepat dan mereka tidak dapat keluar untuk meminta bantuan. Hanya bot sahaja yang boleh digunakan untuk bergerak. Hanya barang penting sahaja dapat diselamatkan. Kg Contoh, Kg Sri Lukut antara kawasan dengan jumlah penduduk terjejas yang tinggi.
Kebanyakan daripada mereka meraih sumber pendapatan daripada hasil tani dan sungai. Kawasan padi telah ditenggelami air setinggi 3 meter. Pengusaha ikan sangkar juga kerugian puluhan ribu ringgit.
Pihak berkuasa tempatan dan anggota beruniform setia bersama dari awal hinggalah kini. Pengurusan bencana di Kahang sangat baik dan layak mendapat pujian. Penyediaan PPS dan bantuan melibatkan kerjasama penduduk kampung membuatkan suasana yang suram menjadi ceria dan bersemangat.
Di Kluang, kawasan yang terjejas ialah kawasan yang biasa dilanda banjir. Cuma jurang masa banjir yang berlaku sebelum ini sangat dekat dengan yang berlaku sekarang. Antara faktor besar ialah pelepasan air dari Empangan Bekok serta Empangan Sembrong di Batu Pahat dan Empangan Machap di Kluang dan Labong, Endau Mersing.
Daerah lain seperti Batu Pahat, Segamat, Muar, Kota Tinggi, Tangkak, Mersing, Pontian dan Kulai masih ditenggelami banjir dan penduduk yang terlibat masih di PPS bagi menjalani kehidupan harian.
Khidmat Malaysia adalah antara NGO yang paling awal menyampaikan bantuan dan sumbangan. Dengan Kerjasama dari Jabatan Amal Malaysia Negeri Johor yang bergerak secara teratur dan sistematik menjadikan penyampaian sumbangan bantuan lebih efisien. Pada ketika itu bantuan makanan, penyediaan barangan di PPS, kelengkapan harian adalah sangat kritikal namun keadaan tersebut dapat diatasi hasil bantuan dan kerjasama semua pihak.
Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada ATM, PDRM, BOMBA, APM, JKM, NADMA dan semua agensi kerajaan yang telah menggerakkan segala aset bagi membantu rakyat Johor.
USTAZ AHMAD NAWFAL
Ketua Pemuda PAS Negeri Johor