Korban ke-5 banjir Johor : Mayat wanita terperangkap dalam kereta ditemui
MERSING, 6 Mac – Johor merekodkan mangsa maut kelima akibat banjir.
Mayat seorang wanita, 23 tahun, yang dilapor terperangkap di dalam kereta selepas kenderaannya yang melalui kawasan banjir hanyut dibawa arus ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) malam tadi.
Kejadian berlaku di Kilometer 28, Jalan Nitar-Kahang di Mersing.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Penolong Penguasa Bomba Abdul Muiz Mukhtar memaklumkan, pasukan SAR terlebih dahulu menemui kenderaan mangsa kira-kira pukul 6.50 petang, selepas 12 jam kejadian berlaku.
Kenderaan jenis Perodua MyVi itu ditemui 15 meter dari lokasi kejadian.
Mayat mangsa yang terperangkap di dalam kenderaan tersebut dapat dikeluarkan selepas kira-kira pukul 10.20 malam sebelum diserahkan kepada pihak polis.
Operasi melibatkan 11 anggota dari BBP Mersing dan BBP Endau dibantu satu Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), dua pacuan empat roda serta sebuah bot.
Turut terlibat Pasukan Penyelamat di Air dari BBP Skudai serta polis daerah Mersing.
Sejak minggu lalu, seramai empat individu dilapor maut akibat banjir di Johor.
Mangsa melibatkan K. Sarathkumar di Kluang pada 1 Mac manakala Lee Amo Yee, Tan Sue Ke dan Fatimah Anthony di Segamat, 2 Mac lalu.