30 hektar hutan tanah gambut di Kuantan terbakar
KUANTAN: Kira-kira 30 hektar hutan di kawasan Jabatan Pertanian Inderapura dilaporkan terbakar akibat cuaca panas.
Jurucakap bomba Pahang berkata pihaknya tiba di lokasi kebakaran pada 9.08 pagi tadi bagi menjalankan operasi pemadaman.
Operasi memadam kebakaran hutan jenis tanah gambut itu dijalankan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas dengan bantuan dari balai Maran dan Peramu.
“Anggaran kawasan yang terbakar ialah 30 hektar dan setakat ini pihak bomba sudah berjaya memadam 20 hektar daripada kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi.
Setakat 10 malam ini operasi masih berjalan bagi memadam 10 hektar lagi kawasan yang terbakar selain menyekat api daripada merebak ke kawasan lain.