Banjir di selatan Sarawak semakin pulih

KUCHING: Jumlah mangsa banjir di Sarawak menurun dengan hanya 44 mangsa membabitkan sembilan ketua isi rumah (KIR) pada jam 4 petang berbanding 85 mangsa tengah hari tadi.
Seramai 44 mangsa itu ditempatkan di satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang masih aktif di kawasan Serian.
Menurut laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), PPS yang masih aktif tersebut ialah Dewan Kampung Slabi Entukuh, Serian.
“PPS itu masih dibuka bagi menempatkan 44 mangsa melibatkan sembilan KIR dari Kampung Slabi Entukuh,” menurut laporan terbabit.
Jelasnya, PPS Dewan Kampung Slabi Entukuh itu mula dibuka pada 3 Mac (semalam) pada jam 5 petang bagi menempatkan mangsa banjir di perkampungan berkenaan.
Pada Sabtu, Sarawak merekodkan jumlah mangsa banjir sehingga 1,511 orang yang membawa kepada pembukaan 14 PPS di kawasan selatan Sarawak.
Tiga PPS yang menempatkan jumlah mangsa tertinggi ialah di Kuching iaitu Dewan R-Piang Kampung Sinar Budi Baru dengan 297 mangsa, SJK (C) Chung Hua Sungai Tengah (284) manakala Dewan Masyarakat Stapok (238).
Kesemua PPS yang menempatkan mangsa banjir meliputi beberapa kawasan di selatan Sarawak iaitu Kuching, Lundu, Bau, Serian dan Siburan.
Dalam pada itu, Kuching merekodkan enam PPS yang diaktifkan, tiga di Siburan, dua di Bau, dua di Balai Ringin serta satu di Lundu.
Bagaimanapun, kesemua PPS itu ditutup secara berperingkat berikutan keadaan banjir di kawasan penduduk terjejas banjir kembali pulih.
PPS yang terbaru ditutup sekitar jam 4 petang ialah tiga PPS di Serian.
Tiga PPS tersebut ialah PPS Dewan Kampung Melayu Balai Ringin yang sebelum ini menempatkan 23 mangsa, PPS Dewan Serba Guna Kampung Ensebang Padang Bilon (18) dan Dewan Serba Guna Kampung Mundai (39). – UTUSAN BORNEO