PENINGKATAN BENCANA BANJIR DI JOHOR MEMBIMBANGKAN : KHIDMAT MALAYSIA ARAH BILIK GERAKAN NEGERI DAN BILIK OPERASI PARLIMEN PERTINGKATKAN PERSEDIAAN

Sehingga pukul 10.00 malam ini, sebanyak 53 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di seluruh negeri Johor dengan 7,759 orang mangsa daripada 2,134 keluarga. Trend peningkatan jumlah mangsa banjir di Johor ini agak membimbangkan, lebih-lebih lagi melibatkan kawasan-kawasan di dalam Daerah Kota Tinggi dan daerah-daerah lain yang berpontensi untuk alami bencana banjir.

Bermula 7 Januari yang lalu, banjir yang pada mulanya telah beransur pulih hampir di seluruh negeri Johor telah kembali meningkat naik apabila jumlah mangsa banjir di enam daerah terjejas seluruh negeri meningkat secara mendadak sehingga 12 tengah malam sehingga dilaporkan mencecah seramai mencecah 4,834 orang daripada 1,413 keluarga berbanding 3,322 orang daripada 1,007 keluarga pada 8 malam pada hari yang sama.

Khidmat Malaysia melalui Bilik Gerakan Info Bencana (BGIB) telah mengadakan mesyuarat pada malam ini bagi mendapatkan maklumat terkini daripada Bilik Gerakan Negeri dan Bilik Operasi di peringkat Kawasan/Parlimen.

Dilaporkan bahawa daerah Kota Tinggi paling teruk terjejas sehingga mencatatkan seramai 4,678 mangsa daripada 1,282 keluarga di 26 PPS, manakala Kluang meningkat menjadi 1,592 mangsa daripada 494 keluarga di 13 PPS.

Lebih membimbangkan, empat lembangan sungai di negeri ini menunjukkan bacaan yang sudah melepasi paras bahaya iaitu di sub lembangan Sungai Kahang di Kluang; Sungai Johor di Johor Bahru serta Sungai Kepala Orang dan Sungai Johor di Kota Tinggi.

Berdasarkan laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), terdapat lima lembangan sungai di negeri ini yang melepasi paras amaran iaitu Sungai Muar dan Sungai Segamat di Segamat; Sungai Lenik di Batu Pahat serta Sungai Johor di Kota Tinggi.

Lembangan sungai yang melepasi paras waspada ialah Sungai Muar di Segamat; Sungai Tangkak dan Sungai Kesang di Tangkak; Sungai Sembrong dan Sungai Senggarang di Batu Pahat; Sungai Sayong di Kulai; Sungai Skudai di Johor Bahru dan Sungai Sedili Besar di Kota Tinggi.

Sehingga kini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) masih belum mengeluarkan ramalan hujan yang terkini namun melihat kepada perkembangan cuaca, segala kemungkinan boleh berlaku.

Khidmat Malaysia telah mengarahkan supaya Bilik Gerakan Negeri dan Bilik Operasi di peringkat Kawasan/Parlimen dibuka bermula esok di seluruh negeri Johor dan ianya mestilah diaktifkan secara berterusan.

Walaupun setakat ini dlaporkan bahawa tiada kes mangsa yang belum dapat diselamatkan dari kawasan yang terlibat dengan banjir namun ‘Rescue Team’ mestilah dalam keadaan bersedia. Begitu juga dengan Dapur Rakyat hendaklah bersedia termasuklah sekiranya diminta untuk membantu mana-mana PPS yang terjejas.

Tahun lalu, negeri Johor telah mengalami bencana banjir yang naik mendadak dalam tempoh hanya 3 hari sahaja. Bermula pada 1 Mac dengan hanya menempatkan 1,591 orang daripada 560 keluarga di empat daerah, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan terus bertambah kepada 24 ribu orang yang ditempatkan di 177 pusat pemindahan pada 2 Mac dan pada 3 Mac, mangsa banjir di Johor terus melonjak kepada 34,849 orang.

Semoga peristiwa ini akan dijadikan iktibar kepada kita semua supaya sentiasa bersiap sedia pada setiap masa.

KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL

Ketua Pengarah Khidmat Malaysia

9 Januari 2024, 10.51 malam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *