Banjir semakin pulih, hanya 114 mangsa di 3 negeri

Situasi banjir di tiga negeri semakin pulih dengan hanya 114 mangsa masih berlindung di lima pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 4 petang tadi berbanding 1,122 orang di 13 PPS tengah hari tadi.

Berdasarkan laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), jumlah mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 26 orang di sebuah PPS di Pasir Mas berbanding 1,034 orang di sembilan PPS tengah hari tadi.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir kekal 34 orang di dua PPS di Maran, manakala sebuah PPS yang menempatkan 87 mangsa tanah runtuh di Cameron Highlands sudah ditutup.

Jumlah mangsa banjir di Johor pula tidak berubah dengan 54 orang masih berada di dua PPS di Segamat setakat 4 petang.

Tinjauan Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati dua sungai di paras bahaya, iaitu Sungai Golok di Pasir Mas, Kelantan yang merekodkan 9.28m dengan trend menurun dan Sungai Arau di Arau, Perlis (23.57m dengan trend menurun).

Terdapat 27 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak atau runtuh dan tanah runtuh.

Antaranya, Jalan Kota Tinggi-Kluang di Kluang, Johor; Jalan Sungai Sok-Chucuh Puteri, Kuala Krai di Kelantan; Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Kupang-Gerik, Hulu Perak di Perak dan Jalan Kuala Lumpur-Bentong (Jalan Lama Bentong) di Pahang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *