Jumlah mangsa banjir di Terengganu turun, Kelantan kekal

Jumlah mangsa banjir di Terengganu menunjukkan pengurangan, manakala di Kelantan kekal sama pagi ini.

Di Terengganu, situasi banjir menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menurun daripada 3,619 orang pada 10 malam tadi kepada 3,581 orang 8 pagi tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) Terengganu, Kuala Nerus masih mencatat jumlah mangsa paling ramai, iaitu 1,598 orang daripada 430 keluarga di 15 PPS, manakala 956 mangsa daripada 279 keluarga dipindahkan ke lima PPS di Kuala Terengganu.

Di Marang, 732 mangsa daripada 183 keluarga berlindung di enam PPS, manakala 272 mangsa daripada 60 keluarga di dua PPS di Besut, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Besut dan Balairaya Beris Tok Abu. Di Dungun, 23 mangsa daripada lima keluarga ditempatkan di SK Tok Kah.

Dalam pada itu, paras air sungai di dua stesen utama, iaitu Parit Utama di Padang Kemunting, Kuala Nerus dan Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman di tahap amaran, manakala Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman di tahap waspada.

Di Kelantan, jumlah mangsa di enam PPS kekal 373 orang daripada 96 keluarga setakat 8.30 pagi tadi, sama seperti malam tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, 312 mangsa banjir di jajahan Pasir Puteh berada di empat PPS, iaitu SK Dalam Rhu, SK Wakaf Raja, SK Sungai Petai dan Dewan Kompleks Kamil.

Di Bachok, 61 mangsa ditempatkan di SK Jelawat dan Sekolah Menengah Kebangsaan Beris Panchor.

Dalam pada itu, banjir di Perak pulih sepenuhnya, apabila PPS terakhir di SK Alor Pongsu, Kerian ditutup petang semalam.

Sekretariat JPBN Perak memaklumkan semua 39 orang daripada 14 keluarga yang berlindung di PPS itu dibenarkan pulang selepas air surut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *