TIGA DAERAH DI TERENGGANU BANJIR

Tiga daerah di Terengganu iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Setiu dilanda banjir hari ini (20 November 2023) berikutan hujan lebat bermula kelmarin.
Antara kawasan yang dinaiki air ialah sekitar kawasan Kuala Ibai, Kampung Padang Gong Pak Maseh, Cendering di Kuala Terengganu selain beberapa jalan raya di Bandaraya Kuala Terengganu ditenggelami air sedalam antara 0.5 meter dan 0.9 meter.
Di Kuala Nerus, hujan berterusan menyebabkan perumahan di Taman Permai Murni dinaiki air pada jam 4.00 pagi dan penduduk dipindahkan oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Tok Jembal.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, , sehingga jam 4.00 petang, seramai 325 mangsa banjir ditempatkan di tujuh PPS di tiga daerah itu.


