Tengkujuh: Penduduk tepi sungai, bukit perlu waspada
SANDAKAN: Khidmat Malaysia Sabah menasihatkan agar warga Pantai Barat, Sandakan dan Tawau bersiap siaga menghadapi musim tengkujuh.
Pengarahnya, Sahar Abdul Majid meminta rakyat terutamanya di kawasan berhampiran sungai dan tepi bukit agar sentiasa berwaspada sepanjang masa kerana dikhuatiri akan berlaku banjir dan tanah runtuh.
Menurutnya, terdapat beberapa kawasan ‘hotspot’ yang sering dilanda banjir seperti Pitas, Kota Marudu, Papar, Kimanis, Beufort, Beluran, Kinabatangan, Semporna, Kunak dan Kalabakan.
Beliau menasihatkan penduduk sekitar sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga dengan sebarang kemungkinan.
“Khidmat Malaysia Sabah telah pun bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan bersiap turun menghulurkan bantuan sekiranya berlaku sebarang bencana alam ini di seluruh Sabah.
“Pihak kami juga menasihatkan agar warga yang tinggal d kawasan berkenaan sentiasa mematuhi setiap arahan dripda pihak berkuasa.
“Khidmat Malaysia Sabah mendoakan rakyat yang tinggal di kawasan tersebut berada dalam keadaan yang selamat sentiasa dan dijauhi dari bencana banjir,” ujarnya yang juga Setiausaha Perhubungan PAS negeri. – HARAKAHDAILY 20/11/2023