Gempa bumi lemah Semporna: Gegaran dirasai, tiada kejadian buruk – Bomba

KOTA KINABALU: Penduduk yang tinggal di kawasan Semporna, Sabah malam ini merasai gegaran akibat kejadian gempa bumi lemah yang melanda kawasan itu, pada 7.39 malam ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Sabah memberitahu pihaknya menerima maklumat mengenai gegaran dirasai penduduk di kawasan itu, namun tiada kejadian tidak diingini berlaku, setakat ini.

“Pihak kami tidak menerima sebarang laporan kejadian tidak diingini dan akan terus memantau keadaan di Semporna. Semua pihak termasuk JBPM sentiasa dalam keadaan siap siaga dan penduduk tidak perlu bimbang,” katanya ketika dihubungi BERNAMA, malam ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan hari ini memaklumkan gempa dengan magnitud 2.6 itu berlaku dengan kedalaman tiga kilometer.

Peniaga makanan, Zahiral Kasman Abdullah, 24, ketika dihubungi berkata gegaran itu amat dirasai ketika beliau berada dalam rumahnya di Kampung Senallang, Semporna, namun gegaran itu hanya dirasai dalam tempoh beberapa saat.

“Rasa macam dinding rumah saya dilanggar sesuatu, memang kami sekeluarga terkejut dan saya terus dapatkan anak dan isteri sebelum lari keluar rumah kerana ingat ada batu besar langgar rumah. Jiran lain pun lari keluar juga, kemudian ada bagi tahu gempa bumi lemah. Syukur semua selamat,” katanya.

Kerani syarikat swasta, Brenda Mary Joseph, 31, berkata ketika kejadian, beliau panik dan terus mendapatkan anak-anaknya, sebelum memeriksa kawasan sekitar rumahnya di Kampung Salimbangun, Semporna.

“Bimbang kerana rumah kami amat dekat dengan laut dan berlaku kejadian tsunami. Masa itu terus saya bersama suami serta anak-anak naik kereta dan pergi cari tempat lebih tinggi di kawasan pekan. Harapnya tiada kejadian gempa susulan,” katanya.– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *