Angka korban banjir Haiti meningkat 51 orang

BOGOTA: Hujan lebat yang melanda Haiti mengakibatkan sekurang-kurangnya 51 orang maut, manakala 18 lagi hilang dan 140 cedera, kata Direktorat Perlindungan Awam, semalam.

Hujan lebat itu menyebabkan sungai melimpah dan mencetuskan banjir lumpur, sekali gus menjejaskan 39,459 keluarga serta menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal, lapor Agensi Anadolu.

Hujan yang melanda mulai Jumaat lalu dan bertambah buruk pada hujung minggu memaksa penduduk meninggalkan kediaman mereka, terutama di bahagian Ouest, Nippes, Sud-Est, Nord-Ouest dan Centre.

Selain itu, kawasan metropolitan Port-au-Prince turut terjejas teruk.

Sehingga Ahad, kerajaan melaporkan angka kematian semasa seramai 15 orang, namun jumlah itu bertambah kepada 42 orang selepas pihak berkuasa mengemas kini jumlah terkininya pada Isnin.

Perdana Menteri Haiti, Ariel Henry menerusi ciapan Twitter, memaklumkan beliau sedang berhubung dengan pertubuhan tempatan dan antarabangsa bagi mendapatkan angka terkini setiap hari.

Kemas kini hingga semalam tidak merangkumi kemalangan jiwa akibat gempa bumi berukuran 4.9 pada skala Richter yang melanda bahagian barat daya negara itu pada awal hari semalam.

Angka kematian akibat gempa bumi itu kini seramai empat orang bersama dengan jumlah kecederaan yang tidak dapat ditentukan.

Ia adalah tragedi terbaharu melanda negara, yang sekian lama bergelut dengan kemiskinan, kelaparan, keganasan kumpulan dan ketidakstabilan politik.

“Kami amat sedih dengan kehilangan nyawa, kemusnahan harta benda dan penderitaan rakyat Haiti yang disebabkan oleh gempa bumi,” kata Jurucakap Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kepada Antonio Gutteres, Stephane Dujarric.

Haiti dijangka menerima hujan yang lebih banyak sehingga esok. – BERNAMA-ANADOLU

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *