8 negeri mudah terkesan fenomena El-Nino, operator bekalan air diarah bersiap sedia
KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyenaraikan lapan negeri yang mudah dipengaruhi fenomena El-Nino yang menyebabkan cuaca kering dan panas melampau berdasarkan pengalaman kejadian El-Nino tahun 2015-2016.
Negeri terbabit adalah Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor.
SPAN berkata menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, kebarangkalian berlakunya El-Nino adalah sekitar 57 peratus pada bulan Jun hingga September 2023 dan meningkat kepada 62 peratus pada September sehingga November 2023.
El-Nino berlaku akibat peningkatan suhu Lautan Pasifik secara mendadak, sekali gus akan mengakibatkan perubahan kepada sistem iklim, terutamanya peningkatan suhu di permukaan dan pengurangan jumlah taburan hujan di Malaysia.
Pada masa sama, SPAN mahu semua pengendali operator air menyediakan pelan persediaan bagi menghantar lori tangki ke kawasan yang dijangkakan mengalami gangguan bekalan air.
“Jika perlu, menempatkan tangki-tangki statik di kawasan kritikal atau tinggi (bertekanan rendah) yang dikenal pasti menghadapi kekurangan bekalan air semasa kemarau dan waktu puncak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operator air juga diminta untuk bersiap siaga dengan jentera, kenderaan, alat kelengkapan dan tenaga kerja untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan dengan seberapa segera sekiranya berlaku kerosakan di loji atau insiden paip pecah.
Span turut mengingatkan operator air untuk bekerjasama dengan mana-mana agensi di peringkat persekutuan dan negeri bagi menjamin keselamatan sumber bekalan air mentah dari segi pencegahan pencemaran sumber air dan memastikan kecukupan bekalan dan tekanan air bagi tujuan pemadaman kebakaran.
“Sekiranya perlu, bantuan penghantaran lori tangki berserta tenaga kerja daripada operator air di negeri lain bagi mengurangkan impak kekurangan bekalan air di suatu negeri,” katanya.
Usaha itu adalah selaras dengan Memorandum Persefahaman Mengenai Kerjasama Di
Antara SPAN Dan Operator-operator Bekalan Air Semasa Menghadapi Krisis Air yang ditandatangani oleh semua operator air di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Mengenai paras air empangan, SPAN berkata ketika ini, paras empangan utama di negeri Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan kebanyakan empangan di Johor masih berada pada paras maksimum atau melebihi 90 peratus.
Katanya, langkah awal juga sudah dilakukan bagi menangani cuaca kemarau dan panas melampau iaitu Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang dilaksanakan di Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam di Pulau Pinang pada 2 hingga 4 Mei 2023 dengan kerjasama Met Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Di Melaka, pengisian air mentah dari Sungai Muar dan Bunded Storage ke Empangan Durian Tunggal masih diteruskan dan merekodkan kapasiti 98.6 peratus.
“Selain itu, sistem pam sokongan iaitu Kolam Menggong dan Tebong juga berfungsi sebagai sumber alternatif kepada Sungai Melaka,” katanya.
Walaupun SPAN menjangkakan bekalan air bagi Negeri Selangor tidak akan terkesan mengambilkira unjuran kapasiti empangan-empangan yang dibuat terdahulu, Air Selangor sentiasa bersedia untuk mengoperasikan HORAS 600 jika terdapat keperluan untuk membantu Empangan Sungai Selangor dan Empangan Sungai Tinggi dari segi pelepasan.
Selain inisiatif yang telah dilaksanakan diperingkat negeri, SPAN meminta operator air memantau kecukupan sumber bekalan air mentah, termasuk bacaan paras sungai, paras empangan dan sumber lain bagi memastikan bekalan air mentah mencukupi untuk pengoperasian semua Loji Rawatan Air (LRA) dan agihan bekalan air kepada pengguna.