Ambil langkah segera jamin sumber air negara mencukupi hadapi El Nino

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengambil langkah segera termasuk menjamin sumber air mentahnya supaya tidak dibazirkan bagi mengelak berlakunya krisis air yang berpunca daripada kemungkinan fenomena El Nino.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S Piarapakaran berkata, biarpun pembentukan El Nino masih di peringkat ramalan, adalah lebih baik untuk negara bersedia dan meminimumkan sebarang kesan negatif terhadap sosial, ekonomi dan alam sekitar.

Justeru itu, beliau berkata, data berkaitan fenomena El Nino sebelum ini dan pembentukannya mesti digunakan untuk perbandingan relatif bagi meramalkan kemungkinan musim panas yang berpanjangan dan kesannya.

“Semua kejadian fenomena El Nino yang direkodkan sebelum ini mesti dikaji dan dibanding dengan kehilangan litupan hutan semula jadi. Kami ingin menegaskan hutan pengeluaran tidak sama dengan hutan dara semula jadi.

“Oleh itu, pemodelan semula ketersediaan air mentah yang dikemas kini mesti dilakukan untuk memastikan kita bersedia menghadapi senario terburuk dan meminimumkan kesan sosial, ekonomi dan alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, empangan digunakan untuk mengawal aliran sungai bagi memastikan aliran dasar sungai mencukupi untuk menyokong semua aktiviti, namun kini, terdapat kelewatan dalam aliran air selepas dilepaskan daripada empangan sehingga mencapai titik penggunaan.

“Ini disebabkan litupan hutan yang berkurangan dan cuaca kering, air dilepaskan dari empangan mungkin menghadapi kehilangan air tinggi ke persekitaran dan mungkin tidak dapat memenuhi aliran dasar yang dikehendaki. Jika lebih banyak air dilepaskan untuk mencapai aliran dasar pada tahap diperlukan, tindakan ini akan menghabiskan air empangan pada kadar lebih cepat.

“Langkah berkesan mesti dilaksanakan untuk memastikan kehilangan air diminimumkan dan tidak memberi kesan kepada pengekstrakan air mentah secara langsung untuk kegunaan industri, pengairan dan operasi loji perawatan air,” katanya.

Beliau berkata, kebiasaannya, aliran dasar sungai menurun ketika musim panas dan fenomena El Nino boleh menyebabkan ia menurun ke tahap yang lebih rendah.

“Keadaan ini akan mengurangkan faktor pencairan di sungai.

Biarpun kuantiti bahan pencemar sama, kekurangan faktor pencairan boleh meningkatkan tahap pencemaran di sungai.

“Oleh itu, langkah tambahan seperti pemantauan tahap bahan pencemar dengan lebih kerap mesti dilaksanakan untuk memastikan air mentah sesuai untuk diekstrak dan digunakan,” katanya.

Selain itu, katanya, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan kerajaan Sabah dan Sarawak mesti menyediakan mekanisme bersesuaian untuk memantau dan mengurus situasi bekalan air terawat dan jika krisis berlaku, kawalan penggunaan air terawat boleh dilaksanakan termasuk catuan.Beliau berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi kerajaan negeri yang bertanggungjawab ke atas air mentah mesti meningkatkan penguatkuasaan bagi mengelakkan kejadian pencemaran air, disebabkan kilang dan tapak pelupusan haram.

“Agensi berkaitan perlu waspada mengelakkan kebakaran tanah gambut daripada berlaku dan memastikan bekalan air mencukupi untuk memadam kebakaran tanah gambut, ketika masalah jerebu juga mungkin akan menjadi lebih teruk semasa fenomena El Nino,” katanya.

Dalam pada itu, Piarapakaran berkata, AWER menasihatkan kerajaan merunding semula Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) terutamanya bagi PPA yang sudah melanggar dasar kerajaan secara langsung bagi mengurangkan kesan kepada tarif elektrik, khususnya bagi separuh pertama tahun depan.

“Cuaca lebih panas meningkatkan penggunaan air dan elektrik. Perang Ukraine-Rusia dan permainan kartel OPEC+ memberi kesan kepada harga sumber tenaga antarabangsa. Di samping itu, pembinaan loji janakuasa lebih daripada 4,500 MW (MegaWatt) sudah dianugerahkan secara rundingan terus. Ini menyebabkan kos penjanaan lebih tinggi yang akhirnnya akan memberi kesan kepada tarif tenaga elektrik,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *