Lebih 50 bomba ‘berkampung’ padam kebakaran tanah gambut.
Kota Bharu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan menempatkan lebih 50 pegawai dan anggota di lokasi kebakaran tanah gambut di Beris Lalang, Bachok bermula hari ini.
Pengarahnya Jainal @ Zainal Madasain berkata, kesemua mereka berkampung di lokasi itu bagi melakukan pemantauan kerana dibimbangi kebakaran terus merebak.
“Mereka daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Pasir Puteh dan beberapa balai daerah lain yang tidak terbabit dengan kes kebakaran.
“Mulai hari ini, kesemua lebih 50 anggota ini akan berkampung di lokasi sepanjang masa dan kita sedang berusaha memadam kebakaran supaya tidak terus merebak.
“Proses memadam kebakaran tanah gambut perlu mengambil masa… dijangka lebih sebulan, memandangkan api dalam tanah dan ia lebih mudah merebak,” katanya ketika dihubungi.
Beliau bagaimanapun berkata, keadaan masih terkawal dan pihaknya melakukan proses lembapan tanah dalam usaha mengawal api dan memadamnya sepenuhnya.
“Untuk proses berkenaan, kita menggunakan air dari parit, sungai serta pili bomba yang berdekatan.
“Justeru, kita berharap orang ramai tidak melakukan pembakaran terbuka atau membuang puntung rokok yang tidak dipadam merata-rata bagi mengelak keadaan menjadi buruk,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, kebakaran kawasan tanah gambut di Beris Lalang, Bachok sejak akhir Mac lalu, semakin merebak sehingga 50 hektar.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dilapor berkata, kejadian dikesan pada 27 Mac lalu yang ketika itu hanya membabitkan tanah gambut seluas lima hektar.
Katanya, keadaan di lokasi kini masih berasap dan belum padam sepenuhnya selain dijangka mengambil masa untuk kembali pulih.
BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN .. BERAMAL KERANA ALLAH