Perodua Aruz hanyut ketika redah banjir, 5 lelaki diselamatkan
GUA MUSANG: Lima lelaki berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka dihanyutkan arus deras akibat banjir kilat, di sini, hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 2 10 petang ketika mangsa berusia antara 45 hingga lingkungan 50-an yang menaiki Perodua Aruz itu dikatakan cuba mengharungi banjir kilat di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Nor Azizi Che Noh, berkata sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi untuk membantu sejurus menerima panggilan mengenai kejadian itu.
Berdasarkan maklumat awal, katanya, terdapat lima lelaki terperangkap dan berada di atas saluran pembetung.
“Mereka dipercayai cuba mengharungi arus deras ketika banjir kilat di lokasi kejadian. Namun mereka berjaya keluar dari kenderaan sebelum kereta dinaiki dihanyutkan arus deras.
“Semua mangsa berjaya berpaut pada saluran pembetung serta naik ke atas struktur konkrit dan terperangkap.
“Kedalaman air di sekitar pembetung terbabit adalah lebih dua meter,” katanya melalui kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas operasi menyelamat itu, Nor Azizi berkata, sebaik tiba seorang daripada mangsa sudah dibawa keluar oleh pihak polis, manakala empat lagi masih terperangkap.
“Saya bersama dua lagi anggota dengan dilengkapi jaket keselamatan berenang bagi menyelamatkan semua mangsa terperangkap.
“Seorang daripada mangsa hampir mengalami hipotermia. Sebaik dipakaikan PFD (jaket keselamatan), mereka diiringi berenang ke tebing bukit sebelum meredah semak untuk keluar ke kawasan selamat,” katanya.
Terdahulu media melaporkan beberapa kawasan di sekitar bandar ini dinaiki air susulan hujan lebat berterusan selama sejam setengah bermula 1.30 petang tadi.
Antara kawasan terbabit dengan kejadian banjir kilat itu adalah di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di Bandar Baru, persimpangan lampu isyarat berdekatan restoran makanan segera KFC dan Taman Tropika di sini.
BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN .. BERAMAL KERANA ALLAH