60 premis rosak akibat ribut
Lebih 60 premis kediaman dan perniagaan di sekitar daerah ini, rosak dan terjejas akibat ribut dan hujan lebat, hari ini.
Kejadian kira-kira 4.45 petang itu bukan hanya merosakkan premis kediaman malah Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri di Taman Sena Indah, Repoh, Behor Empiang, Jalan Syed Alwi, serta Bazar Aidilfitri di Kangar Jaya.
Tinjauan mendapati banyak premis jualan makanan dan minuman serta premis menjual pakaian rosak selepas bumbung dan gerai mereka diterbangkan ribut.
Malah, Balai Bomba dan Penyelamat Kangar turut dibadai ribut apabila sebatang pokok tumbang dan menghempap satu daripada rumah dalam stesen berkenaan.
Bagaimanapun, kejadian ribut yang berlaku itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan serta kemalangan jiwa.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Perlis, Leftenan Kolonel (Pertahanan Awam) Mohd Izaimi Md Daud berkata, sehingga jam 8.51 malam, seramai 91 mangsa terbabit yang mana rumah atau premis perniagaan rosak teruk akibat kejadian itu.
“Bagi kariah Masjid Putra seramai 44 mangsa terdiri daripada penduduk di Kampung Baru, 15 mangsa (Taman Intan) dan lima mangsa (Taman Dato Setia).
“Bagi kariah Repoh pula, terdapat seramai tujuh mangsa, manakala di kariah Kechor dan Behor Temak enam mangsa terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, bagi kariah Chemumar, dua mangsa terbabit, manakala masing-masing satu mangsa terbabit di kariah Kangar di Taman Kechor Indah, kariah Kota Kayang di kawasan Jalan Tok Kuning, Behor Empiang, Behor Mentalon dan Binjal.
“Kita masih meneruskan pemantauan terhadap kerosakan yang berlaku,” katanya.
Peniaga yang mahu dikenali sebagai Hassan, 35, berkata, kejadian berlaku dengan pantas ketika sedang mengemas gerainya.
“Tiba-tiba sahaja angin bertiup kencang beserta hujan. Habis terangkat bumbung gerai, kami terpaksa menanggung kerugian kerana tidak dapat meneruskan perniagaan hari ini,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dalam hantarannya Facebooknya melahirkan rasa takziah kepada mangsa ribut yang terbabit.
“Jabatan dan agensi berkaitan sudah diatur untuk ‘turun’ membantu dan mangsa diharapkan dapat bersabar dengan musibah yang melanda.
“Mangsa boleh memberikan butiran diri mereka kepada wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perlis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN .. BERAMAL KERANA ALLAH