Bilik Gerakan Info Bencana Khidmat Malaysia tutup operasi bencana dan akan terus pantau situasi semasa

1. Pusat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) yang telah beroperasi sejak 3 Mac yang lalu telah menutup operasi bencana Khidmat Malaysia pada 20 Mac, namun masih beroperasi di peringkat negeri Johor. Bermula hari ini, pentadbiran Khidmat Malaysia Pusat akan terus berhubung dengan Bilik Gerakan Bencana Khidmat Malaysia Negeri Johor (BGN Johor) untuk memantau perkembangan terkini.
2. Pusat Operasi atau Bilik Gerakan Info Bencana (BGIB) Pusat telah menguruskan situasi dan memantau bencana banjir yang melibatkan negeri Johor, Pahang, Melaka, Selangor, Sabah dan Sarawak sepanjang tempoh 18 hari. Bencana di Johor lebih diberikan tumpuan sebab situasi bencana banjir yang buruk dan diluar jangkaan.
3. Penutupan ini dibuat setelah melihat perkembangan semasa yang menunjukkan keadaan telah pun beransur pulih. Di samping itu, laporan yang diterima daripada pengurusan Khidmat Malaysia di negeri-negeri terbabit juga menyatakan kebanyakan mangsa terutamanya di negeri Johor yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah pulang ke rumah masing-masing. Namun ada sebilangan kecil yang masih berada di PPS di beberapa daerah di Johor. Justeru berdasarkan Prosedur Operasi Standard Khidmat Malaysia, keadaan seperti ini merupakan perkembangan yang positif dan sesuai untuk menghentikan Operasi Bencana.
4. Sepanjang operasi bencana ini, Khidmat Malaysia telah menggerakkan operasi bantuan hasil daripada sumbangan pelbagai pihak termasuk sektor korporat, NGO dan orang persendirian kepada mangsa banjir di negeri-negeri yang terlibat.
5. Khidmat Malaysia juga turut mengaktifkan sejumlah besar kumpulan ‘clean and clear’ (CNC) yang terdiri daripada petugas Khidmat Malaysia dari seluruh pelosok negara lebih kurang 1650 petugas bagi melicinkan operasi mencuci dan membersihkan kediaman penduduk yang terkesan akibat banjir yang melanda tempat mereka. Sepanjang tempoh operasi ini juga, pihak kami menerima sumbangan wang ringgit daripada para penyumbang dari seluruh negara yang mana telah digunakan untuk kegunaan operasi dan sumbangan kepada mangsa.
6. Bagi mengurangkan beban sebahagian mangsa yang kebanyakannya hilang hampir seluruh barangan dan perabot di rumah mereka, Khidmat Malaysia bertungkus lumus menghidupkan stesen Dapur Rakyat yang berfungsi menyediakan makanan tengahari dan malam sehingga mencecah 1200 pek makanan sehari bagi setiap stesen. Alhamdulillah, ia sedikit sebanyak memberi nafas kelegaan penduduk tempatan untuk mendapatkan makanan yang berkhasiat sepanjang tempoh mempersiapkan kelengkapan asas rumah.
7. Mewakili Khidmat Malaysia, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat terutamanya kepada Lajnah Kebajikan PAS, Lajnah Kesihatan PAS, Jabatan Amal Malaysia, Briged Muslimat dan barisan NGO yang turut bersama kami seperti Yayasan Amal Malaysia, PAPISMA, Muslim Care Malaysia, Syabab Care dan NGO-NGO lain yang turun membantu menjayakan operasi bencana banjir kali ini. Begitu juga kepada semua penyumbang tidak kira dalam kalangan orang persendirian mahupun kumpulan yang telah mengumpulkan barang sumbangan dan wang tunai dan diserahkan melalui penyelarasan Khidmat Malaysia.
8. Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada agensi-agensi kerajaan terutamanya pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Kebajikan Masyarakat, BOMBA dan agensi-agensi lainnya yang banyak memberikan bantuan, berkongsi maklumat dan memberi ruang seluasnya kepada Khidmat Malaysia memberi khidmat kepada rakyat yang terjejas akibat bencana kali ini. Tidak ketinggalan kepada Seluruh Pimpinan Masyarakat daripada Menteri Besar, Ahli-ahli Parlimen, ADUN-ADUN sehinggalah kepada Penghulu dan Ketua Kampung.
Sekian, wassalam.
BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN, BERAMAL KERANA ALLAH