Pengerusi Khidmat Malaysia Santuni Mangsa Banjir dan Petugas Banjir
Siti Solehah Husna Bakry, 6 Mac 2023 2.17 petang
KUALA LUMPUR – Khidmat Malaysia, badan yang terlibat secara langsung dalam urusan bencana banjir terus memberikan komitmen terhadap menangani bencana banjir khususnya yang sedang melanda beberapa buah negeri ketika ini.
Semalam, Pengerusi Khidmat Malaysia Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff telah meluangkan masa menyantuni mangsa dan petugas bencana banjir di Johor.
Beliau telah turun ke Segamat, Sekijang dan Labis yang mana ketiga-tiga kawasan Parlimen ini sedang berhadapan dengan situasi banjir yang menunjukkan peningkatan paras air yang membimbangkan serta peningkatan mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Dalam ucapan yang disampaikan oleh beliau semasa memberi taklimat kepada para petugas di Sekijang dan Labis, beliau mengingatkan supaya semua petugas mengikhlaskan diri semasa melaksanakan tugas sebagai sukarelawan kerana apa yang dilaksanakan oleh semua adalah bertujuan untuk mencari keredhaan Allah.
“Jangan kita jadikan apa yang kita laksanakan pada hari ini dengan tujuan selain daripada kerana Allah sebab itu penting untuk kita memastikan niat kita ini adalah benar-benar disandarkan kepada Allah.
“Dalam masa yang sama, hendaklah kita pastikan bahawa apabila kita turun membantu masyarakat, mereka yang kita bantu adalah terdiri daripada semua golongan masyarakat tanpa mengira siapa mereka atau latar belakang mereka,” ujar beliau.
Dato’ Siti Zailah telah meluangkan masa untuk mendengar taklimat dari ketiga-tiga Bilik Operasi Bencana Khidmat Malaysia kawasan dan memantau aktiviti yang telah dan sedang dilaksanakan di kawasan-kawasan tersebut.
Beliau juga telah menyantuni mangsa banjir di Kampung Sungai Gatom, Kampung Tenang di Labis, Kampung Jawa dan PPS di Kampung Jawa. Beliau juga mengambil peluang untuk memantau aktiviti operasi membersihkan kediaman atau Ops Bersih yang sedang dilaksanakan di sekitar kawasan taman perumahan yang terletak di kawasan Sekijang.
Dato’ Siti Zailah diiringi oleh Ketua Pengarah Khidmat Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil, Pengarah Khidmat Malaysia negeri Johor Abd. Aziz Abdullah, Penyelaras Parlimen Sekijang, Segamat dan Labis dan para pimpinan dan petugas.
Turut mengiringi adalah Pesuruhjaya PAS Negeri Johor Ustaz Abdullah Husin dan Pengarah Khidmat Malaysia negeri Terengganu, Sauji Abd Rashid.