KENYATAAN MEDIA PENGERUSI KHIDMAT MALAYSIA RAMALAN BANJIR MELANDA KELANTAN DAN TERENGGANU

Khidmat Malaysia mengambil maklum ramalan terkini daripada Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), yang menjangkakan hujan lebat akan melanda Kelantan dan Terengganu bermula Ahad hingga Isnin, 23 hingga 24 Mac 2025. Ramalan ini menunjukkan potensi banjir di kawasan berisiko tinggi seperti Lembangan Sungai Golok, Sungai Kelantan, dan Sungai Semerak di Kelantan, serta daerah-daerah seperti Besut, Dungun, Hulu Terengganu, Kemaman, dan Kuala Terengganu di Terengganu.
Ketika ini, negeri Johor dan beberapa kawasan di seluruh negara termasuk Sabah masih menghadapi kesan banjir. Khidmat Malaysia telah menggerakkan operasi untuk kerja-kerja mencuci dan memulihkan kawasan yang terjejas akibat bencana tersebut. Kami ingin merakamkan penghargaan kepada semua sukarelawan yang terus berkhidmat demi kesejahteraan rakyat.
Sehubungan itu, Khidmat Malaysia serta semua sukarelawan kami bersiap-siaga sepenuhnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir di Kelantan dan Terengganu. Kami menyeru seluruh rakyat di kawasan berisiko untuk sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa, mengambil langkah berjaga-jaga, dan peka terhadap perkembangan terkini keadaan cuaca.
Kami juga menyeru agar seluruh rakyat berdoa kepada Allah SWT agar negeri-negeri ini dijauhkan daripada ujian yang tidak mampu ditanggung. Sebagai panduan, bacalah doa yang diajarkan oleh Nabi SAW:
اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلَا عَلَيْنَا، اللَّهُمَّ عَلَى الْآكَامِ وَالظِّرَابِ، وَبُطُونِ الْأَوْدِيَةِ، وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ
(Ya Allah, turunkanlah hujan ini di sekeliling kami, bukan ke atas kami. Ya Allah, turunkanlah ia di bukit-bukit, di dataran tinggi, di lembah-lembah, dan di tempat tumbuh-tumbuhan).
Semoga Allah melindungi kita semua dan memberikan kekuatan untuk mengharungi ujian ini.
BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN, BERAMAL KERANA ALLAH
DATUK DR. AHMAD MARZUK SHAARY
Pengerusi Khidmat Malaysia
22 Mac 2025