Khidmat Malaysia Kubang Pasu Gempur Banjir: Operasi Cuci dan Agihan Pek Makanan di Taman Tabung Haji

Kubang Pasu, 3 Disember 2024 – “Operasi Banjir : Agih dan Cuci” dilancarkan di Taman Tabung Haji hari ini apabila Khidmat Malaysia Kawasan Kubang Pasu turun padang membantu penduduk yang terjejas akibat banjir. Operasi melibatkan kerja-kerja pembersihan rumah yang dilanda banjir, selain pengagihan pek makanan kepada penduduk, berlangsung penuh semangat.
Aktiviti yang bermula sejak pagi ini menyaksikan sukarelawan berganding bahu membersihkan lumpur dan sisa banjir yang memenuhi kawasan perumahan. Pek makanan turut diedarkan kepada mangsa banjir sebagai usaha segera untuk memastikan bekalan keperluan asas mencukupi.
Menurut wakil Khidmat Malaysia Kawasan Kubang Pasu, operasi ini bertujuan memberikan bantuan segera kepada penduduk yang baru mula bangkit daripada musibah.
“Hari ini kami berusaha sehabis baik untuk membersihkan rumah-rumah penduduk serta memastikan tiada keluarga yang kekurangan makanan. Solidariti masyarakat sangat penting dalam saat-saat mencabar seperti ini,” katanya.
Penduduk Taman Tabung Haji melahirkan rasa terharu atas usaha sukarelawan yang tidak mengenal penat lelah. Salah seorang penduduk, berkata:
“Kehadiran sukarelawan sangat membantu. Kami yang kehilangan banyak barang akibat banjir rasa lega kerana ada pihak yang prihatin dengan keadaan kami.”
Operasi ini akan diteruskan di kawasan-kawasan lain yang terjejas dalam masa terdekat, dengan fokus untuk memulihkan keadaan komuniti yang terkesan.
Khidmat Malaysia Kawasan Kubang Pasu sekali lagi membuktikan komitmen mereka sebagai barisan hadapan dalam membantu mangsa bencana alam. Semoga usaha ini memberikan sinar harapan kepada mangsa banjir untuk kembali bangkit dengan semangat baru.




