KENYATAAN MEDIA:MANGSA BANJIR MENINGKAT DI KELANTAN DAN TERENGGANU: KHIDMAT MALAYSIA AMBIL LANGKAH SEGERA MEMBANTU
- Pusat Pengurusan Kecemasan Dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) sentiasa prihatin dan konsisten dalam memantau perkembangan bencana dalam negara sejak 10 tahun yang lalu. Ia bermula apabila negara dikejutkan dengan tragedi ‘Bah Kuning’ yang melanda pantai timur semenanjung Malaysia pada ketika itu sehingga menyebabkan rakyat dan negara menanggung kerugian yang besar kesan bencana yang berlaku.
- Perkembangan terkini yang berlaku terutamanya yang melanda negeri Kelantan dan Terengganu, jumlah mangsa yang dicatatkan di kedua buah negeri ini adalah seramai 9,322 orang yang terdiri daripada 2,862 buah keluarga. Jumlah ini telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu sebanyak 83 Pusat di Kelantan dan juga 49 pusat di Terengganu. Sehingga kini Ketua Bilik Gerakan Info Bencana (BGIB) Khidmat Malaysia, Mohd Ashrul Hisyam bin Abdul Jalil telah mengarahkan kedua-dua Bilik Gerakan (BG) Khidmat Malaysia negeri Kelantan dan Terengganu untuk terus membuat pemantauan dan perkembangan terkini di lapangan termasuklah jumlah mangsa yang masih berada di rumah masing-masing.
- Khidmat Malaysia telah bersiap untuk menggerakkan pasukan Rescue daripada Jabatan Amal Malaysia (JAM) bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya keadaan banjir menjadi lebih parah di negeri Kelantan dan dua buah negeri lain termasuk Negeri Terengganu dan Pahang. Pasukan penyelamat JAM yang terdiri daripada anggota terlatih dalam pelbagai cabang kemahiran menyelamat seperti penyelam scuba, menyelamat di air (open surface), pengendalian bot dan pertolongan cemas telah diminta membuat persiapan lebih awal sebelum daripada ini dan kini bersedia untuk digerakkan melalui arahan Markas Operasi Khidmat Malaysia Pusat dibawah pengarahan Pengarah Bahagian Operasi Khidmat Malaysia, Mohammad Nazree Bin Mohammad Aris.
- Selain itu, BGIB turut menggerakkan setiap kekuatan Badan-badan bukan Kerajaan (NGO) yang merupakan rakan strategik Khidmat Malaysia untuk sama-sama berganding bahu membantu dari pelbagai aspek yang lain. Antara keperluan penting yang telah disusun adalah pembukaan Dapur Rakyat oleh NGO Yayasan Amal Malaysia iaitu dapur berpusat yang berfungsi menyediakan makanan untuk diedarkan pada setiap waktu utama seperti waktu merarau dan makan malam kepada mangsa yang terperangkap di rumah masing-masing dan juga untuk para petugas Khidmat Malaysia yang berkampung di Bilik Operasi Khidmat Malaysia kawasan yang terlibat banjir untuk memberi bantuan kemanusian.
- Dalam masa yang sama, BGIB turut mengingatkan seluruh rakyat yang berhadapan dengan situasi banjir agar dapat meningkatkan kewaspadaan dan menjaga keselamatan diri agar tidak menjadi mangsa lemas atau renjatan elektrik ketika mana air masih bergenang atau dibawa arus deras sungai yang melimpah ke daratan. Kita tidak mahu ada lagi kedengaran mangsa-mangsa yang menemui ajal disebabkan bencana banjir yang berlaku pada ketika ini
- Akhir sekali, bagi memastikan gerakan membantu rakyat yang terkesan berjalan lancar, BGIB yang telah diaktifkan pada awal bulan lepas merayu agar lebih ramai warga Malaysia yang prihatin dapat menghulurkan tenaga sebagai sukarelawan Khidmat Malaysia serta agar dapat menghulurkan sumbangan wang tunai mahupun barangan bantuan melalui Tabung Musa’adah Khidmat Malaysia melalui Akaun Bank Maybank (No. Akaun: 562384542866) atau Akaun Bank Islam (No. Akaun: 12225010037517). Sebarang pertanyaan boleh hubungi 011-56553427 (Hotline).
“BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN, BERAMAL KERANA ALLAH”
KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL, KMN
Ketua Pengarah Khidmat Malaysia
Tarikh: 25 Jamadil Awal 1445H / 27 November 2024