2 SUNGAI DI KELANTAN CATAT PARAS WASPADA
KOTA BHARU: Berikutan hujan sejak dua hari lepas yang kadang-kadang lebat menyebabkan Sungai Semerak, Pasir Puteh dan Sungai Pergau, Kampung Lawar, Jeli mencatat bacaan melebihi paras waspada.aras air di Sungai Semerak menunjukkan bacaan melebihi tahap waspada iaitu 2.08 meter (m), manakala Sungai pergau pula 101.01 (m) sehingga jam 7.45 pagi ini.
Maklumat berkenaan paras sungai tersebut dikongsi di laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim mengingatkan orang ramai khususnya mereka yang tinggal di kawasan rendah sentiasa berwaspada.
Katanya, Kelantan mengalami kekerapan hujan kebelakangan ini berbanding biasa biar pun tidak begitu lebat.
“Apa yang penting persiapan menghadapi banjir perlu diadakan dan sentiasa mengelakan berlaku perkara tidak diingini,” katanya di sini hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini mengeluarkan amaran hujan berterusan (waspada) yang diramalkan berlaku di Pantai Timur pada 19 hingga 23 November ini.
Amaran itu melibatkan seluruh Terengganu, manakala di Kelantan meliputi Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh.
Dan di Pahang melibatkan Kuantan, Pekan, Rompin dan Johor (Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi, Johor Bahru).
MetMalaysia menasihati orang ramai untuk merujuk laman web rasmi, media sosial dan aplikasi myCuaca untuk maklumat terkini dan sahih. – HARAKAHDAILY 20/11/2024