Mangsa banjir di Kota Tinggi naik mendadak

Jumlah mangsa banjir di daerah Kota Tinggi, Johor meningkat secara mendadak daripada 88 orang pada 4 petang kepada 300 orang setakat 8 malam tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Johor, Azmi Rohani berkata, semua mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Lintang.

Beliau berkata, 69 keluarga itu dari Kampung Temenin Baru dan Kampung Desa Makmur di Kota Tinggi.

Katanya, hasil pemantauan cuaca oleh Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati hujan berterusan melanda Kota Tinggi sejak 8 pagi hingga 4 petang dan mendung hingga 8 malam tadi.

Laporan Jabatan Ukur dan Pemetaan menunjukkan lima lembangan sungai di Kota Tinggi masih di paras normal, iaitu Sungai Johor di Rantau Panjang, Sungai Johor di Kota Tinggi, Sungai Sembilang di Kampung Sungai Sembilang, Sungai Sedili Kecil di Sedili Kecil dan Sungai Ulu Sedili Besar di Batu 52 Sedili.

Ketua Polis Kota Tinggi, Hussin Zamora berkata, daerah itu menerima taburan hujan tinggi sejak pagi tadi sehingga menyebabkan beberapa kawasan penempatan dan jalan dinaiki air.

“Dua jalan raya utama masih terjejas, iaitu Jalan Kota Tinggi-Kluang (dekat kawasan pelupusan sampah) membabitkan jarak 100m dengan kedalaman air 0.30m dan Jalan Kota Tinggi-Kluang (dekat simpang tiga jalan ke air terjun) membabitkan jarak 200m dengan kedalaman air 0.40m.”

Beliau mengingatkan orang ramai sentiasa berhati-hati ketika memandu, khasnya di kawasan dinaiki air dan mematuhi papan tanda amaran di kawasan terjejas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *