1 PPS dibuka di Kota Tinggi akibat banjir kilat

Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Lintang, Kota Tinggi akibat banjir kilat.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Azmi Rohani, berkata PPS yang dibuka pada 12.30 tengah hari tadi menempatkan 22 orang daripada tujuh keluarga dari Kampung Teminin Baru dan Kampung Desa Makmur.

“Menurut laporan Jabatan Meteorologi, amaran ribut petir dan hujan lebat dikeluarkan sehingga 6 petang Sabtu membabitkan Segamat, Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru,” katanya.

Pengguna jalan raya pula diminta menggunakan jalan pintasan untuk meneruskan perjalanan keluar dan masuk ke Kota Tinggi.

Polis Kota Tinggi dalam kenyataan di Facebook menasihatkan pemandu kenderaan ringan tidak menggunakan Jalan Kota Tinggi-Kluang persimpangan Taman Daiman yang dinaiki air.

“Unit kereta peronda (JH 162) menutup laluan tersebut buat sementara memandangkan ia tidak selamat digunakan kenderaan ringan,” katanya sambil menambah pemantauan banjir kilat dan kawalan lalu lintas dilakukan di Jalan Johor Bahru-Kluang (Sanggar Kota) dan Jalan Kota Tinggi-Kluang (persimpangan Taman Daiman).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *