Mangsa banjir di Dungun berkurangan
KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir di daerah Dungun berkurangan sedikit setakat jam 4 petang ini, dengan seramai 463 orang daripada 149 keluarga masih terjejas.
Mereka kini berada di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah berkenaan.
Pagi tadi, seramai 473 mangsa daripada 157 keluarga berada di kedua-dua PPS.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, 10 mangsa daripada lapan keluarga di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing bermula tengah hari tadi.
Sementara itu, laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran menunjukkan tiada sungai direkodkan melepasi paras bahaya, amaran dan waspada.
Ketika ini, paras air di kebanyakan sungai utama di Terengganu menunjukkan trend penurunan walaupun masih melepasi paras normal.