Banjir di Johor tidak banyak berubah, 7341 mangsa berlindung di 49 PPS

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Johor berkurang sedikit kepada 7,341 orang daripada 2,062 keluarga di 49 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah terjejas, setakat jam 8 pagi tadi, berbanding 7,324 orang malam tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, hanya di Kota Tinggi mencatatkan jumlah mangsa banjir yang meningkat, manakala Kluang dan Johor Bahru semakin berkurang.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, jumlah mangsa banjir di Kulai, Segamat dan Pontian pula tidak berubah.

“Jumlah mangsa banjir di Kota Tinggi meningkat kepada 4,707 orang daripada 1,289 keluarga yang ditempatkan di 26 PPS di daerah berkenaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Azmi, jumlah mangsa banjir di Kluang pula berkurang kepada 1,601 orang daripada 494 keluarga yang semuanya masih ditempatkan di 13 PPS manakala di Johor Bahru, seramai 840 mangsa daripada 233 keluarga pula kini ditempatkan di lima PPS.

“Jumlah mangsa banjir di Kulai kekal 86 orang daripada 23 keluarga di satu PPS, Segamat juga tidak berubah dengan 73 orang mangsa daripada 20 keluarga di tiga PPS dan Pontian mencatatkan mangsa yang tidak berubah seramai 17 orang daripada empat keluarga yang ditempatkan di satu PPS,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) Negeri Johor, terdapat enam jalan di Kota Tinggi dan satu jalan di Mersing yang terjejas dengan banjir selepas dinaiki air dan semuanya ditutup bagi laluan semua jenis kenderaan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) pula mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada (kuning) sehingga hari ini di Kluang, Mersing, Kulai, Johor Bahru dan Kota Tinggi.

Namun, tiada sebarang amaran ribut petir dikeluarkan di mana-mana kawasan di negeri ini.

Sementara itu, sungai di Kota Tinggi seperti Sungai Johor dan Sungai Kepala Orang dilaporkan sudah melepasi paras bahaya setakat jam 8 pagi ini.

Berdasarkan laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), tiga sungai lagi iaitu Sungai Muar di Segamat, Sungai Lenik di Batu Pahat dan Sungai Skudai di Johor Bahru pula melepasi paras amaran manakala, terdapat 10 sungai di negeri ini yang melepasi paras waspada iaitu Sungai Muar dan Sungai Segamat di Segamat; Sungai Sembrong di Batu Pahat; Sungai Sayong di Kulai; Sungai Sedili Besar di Kota Tinggi; Sungai Jemaluang dan Sungau Endau di Mersing serta Sungai Tiram di Johor Bahru.

Semua daerah di Johor dilaporkan masih mengalami hujan setakat jam 8 pagi ini kecuali Muar dan Batu Pahat yang cerah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *