Mangsa banjir di Pantai Timur meningkat, Negeri Sembilan berkurangan

Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan, Terengganu dan Pahang merekodkan peningkatan malam ini manakala di Negeri Sembilan berkurangan.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,599 orang daripada 441 keluarga setakat jam 8 malam ini berbanding 856 orang daripada 235 keluarga yang direkodkan pagi tadi, dengan jajahan Gua Musang menjadi kawasan baharu terjejas bencana itu selepas Pasir Mas, Jeli dan Tanah Merah.

Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Kelantan, 38 mangsa daripada tujuh keluarga di Gua Musang berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi 1 manakala empat PPS dibuka di Jeli melibatkan SK Jeli 1, SK Bukit Jering, SK Lubok Bongor dan SK Kuala Balah.

Mangsa banjir di Pasir Mas berlindung di PPS SK Gual To’Deh, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baroh Pial, SK Gual Periok dan Madrasah Mukim Padang Licin manakala mangsa di Tanah Merah ditempatkan di SK Kelewek, Balai Raya Padang Kijang, SMK Bukit Bunga, SK Lawang dan SK Gual Jedok.

Banjir gelombang ketiga di Terengganu juga semakin buruk apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS di empat daerah meningkat kepada 826 orang daripada 253 keluarga setakat jam 8 malam ini berbanding 340 orang daripada 91 keluarga pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu memaklumkan sebanyak 439 mangsa daripada 118 keluarga ditempatkan di sembilan PPS di daerah Dungun, sementara 73 mangsa daripada 19 keluarga berlindung di tiga PPS di Setiu.

Di Hulu Terengganu, sebanyak 302 mangsa daripada 113 keluarga telah dipindahkan di enam PPS manakala Marang kekal mencatatkan 12 mangsa daripada tiga keluarga sejak PPS di Dewan Sivik Wakaf Tapai dibuka malam semalam.

Sementara itu, berdasarkan maklumat di laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my mendapati paras air sungai di lima stesen utama di empat daerah terkesan banjir itu telah mencapai tahap bahaya.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di SK Felda Kota Gelanggi 1, Jerantut meningkat sedikit kepada 78 orang daripada 19 keluarga setakat 8 malam ini berbanding 75 orang daripada 19 keluarga setakat 4 petang tadi.

Sekretariat JPBN Pahang memaklumkan hujan lebat berterusan sejak semalam telah menyebabkan Sungai Siam melimpah sehingga menyebabkan beberapa rumah di Kota Gelanggi 1 dinaiki air, namun banjir telah surut dan masih dipantau dari semasa ke semasa.

Selain itu, sekretariat berkenaan memaklumkan Sungai Lembing di Kuantan telah merekodkan tahap bahaya dan anggota keselamatan telah diatur gerak ke lokasi berkenaan.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada keperluan untuk pemindahan mangsa ke PPS.

Di Negeri Sembilan, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 55 orang daripada 12 keluarga setakat 8 malam ini berbanding 68 mangsa daripada 16 keluarga awal pagi tadi dan kesemua mereka ditempatkan di SK Sungai Machang di Lenggeng, Nilai.

Pegawai Operasi APM Seremban, Lt (PA) Md Marisa Aminuddin ketika dihubungi berkata situasi banjir kilat di Kampung Chelogeh, Kampung Batu 18 dan Kampung Sungai Jai telah surut dan paras air sungai juga terkawal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *