KENYATAAN MEDIA KANAK-KANAK PEREMPUAN LEMAS : KHIDMAT MALAYSIA RAKAM UCAPAN TAKZIAH

Khidmat Malaysia mengambil perhatian serius terhadap perkembangan bencana banjir yang sedang dihadapi oleh negara ketika ini. Semalam, seorang kanak-kanak berusia 11 tahun meninggal dunia akibat lemas selepas terjatuh ke dalam alur sungai di Kampung Petai Dusun, Rantau Panjang Kelantan.

Mangsa yang dikenali sebagai Siti Aisyah Mazi manakala rakan mangsa, Nur Damia Qaisara Mohd Sabre juga berusia 11 tahun dikhuatiri lemas dan sehingga kini masih belum ditemukan.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga mangsa dan mendoakan agar Nur Damina akan berjaya ditemui dalam keadaan selamat.

Dalam masa yang sama, saya ingin berpesan kepada semua supaya meningkatkan kewaspadaan apabila tibanya musim hujan terutamanya apabila bencana banjir yang melanda ketika ini. Elakkan untuk keluar rumah dan jika kawasan anda dilanda banjir, pantaulah keselamatan ahli keluarga dan jiran tetangga khususnya terhadap anak-anak yang masih kecil kerana bahaya berada di mana-mana ketika bencana banjir berlaku.

Adalah sangat penting untuk segera berpindah ke kawasan yang lebih selamat bila kawasan kediaman dinaiki air dan jangan tunggu sehingga waktu malam untuk berpindah kerana ia bakal menimbulkan risiko terhadap keselamatan dalam suasana tidak menentu ketika ini.

Jangan bertangguh apabila diarahkan oleh berwajib untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) demi keselamatan mangsa banjir. Paling penting, jaga keselamatan kita bersama.

Teruskan berdoa semoga kita semua dilindungi dan dipermudah urusan oleh Allah S.W.T.

YB Datuk Dr Ahmad Marzuk bin Shaary
Pengerusi Khidmat Malaysia
25 Disember 2023

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *