KENYATAAN MEDIA:TINGKATKAN KEWASPADAAN DAN KESIAPSIAGAAN DALAM MENGHADAPI BENCANA MONSUN TIMUR LAUT.

1. Pusat Pengurusan Kecemasan Dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) cakna dengan perkembangan cuaca sebagaimana yang dilaporkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia). Bermula pada penghujung bulan lalu sehingga ke hari ini, agensi kerajaan dan Bilik Gerakan Info BENCANA (BGIB) telah merekodkan kejadian bencana banjir di beberapa buah negeri yang meliputi kawasan pantai timur dan pantai barat semenanjung Malaysia termasuk yang terkini telah berlakunya bencana banjir di daerah Kuala Krai, Kelantan.

2. Melalui notis MET Malaysia yang terkini, hujan lebat berterusan pada tahap waspada (kuning) dijangka berlaku di negeri Pahang (Jerantut, Pekan dan Rompin) bermula hari ini sehingga 15 Disember 2023. Dalam perkembangan lain, MET Malaysia turut melaporkan hujan lebat berterusan pada tahap buruk (jingga) dijangka berlaku di negeri Kelantan (Gua Musang), Terengganu (Marang, Dungun dan Kemaman) dan Pahang (Kuantan) juga bermula hari ini sehingga 15 Disember 2023. Selain itu, MET Malaysia turut meramalkan hujan lebat berterusan pada tahap bahaya di baki daerah di negeri Kelantan dan Terengganu, bermula hari ini hingga 15 Disember 2023.

3. Justeru, Khidmat Malaysia mengingatkan kepada seluruh penduduk di sekitar daerah yang dilaporkan dalam ramalan MET Malaysia supaya meningkatkan kewaspadaan dan keselamatan diri dan keluarga sepanjang tempoh yang dijangkakan berlakunya hujan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini. Seluruh penduduk di daerah terbabit diingatkan supaya membuat persediaan untuk berpindah sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa bagi melancarkan operasi menyelamat.

4. Dalam masa yang sama, Khidmat Malaysia telah meletakkan jentera Khidmat Malaysia di negeri-negeri terbabit dalam status berjaga-jaga dan bersiap siaga dengan anggota-anggota terlatih dan aset serta jentera menyelamat bagi membantu pihak berkuasa dalam menangani situasi yang dijangkakan berlaku di kawasan terbabit seperti banjir dan sebagainya sekiranya diminta untuk berbuat demikian.

5. Bagi memastikan gerakan membantu rakyat yang terkesan berjalan lancar, BGIB yang telah diaktifkan pada awal bulan lepas merayu agar lebih ramai warga Malaysia yang prihatin dapat menghulurkan tenaga sebagai sukarelawan Khidmat Malaysia serta tidak dilupakan agar dapat menghulurkan sumbangan wang tunai mahupun barangan bantuan melalui Tabung Musa’adah Khidmat Malaysia yang telah dilancarkan beberapa hari yang lalu melalui Akaun Bank Maybank (No. Akaun: 562384542866) atau Akaun Bank Islam (No. Akaun: 12225010037517). Sebarang pertanyaan boleh hubungi 011-56553427 (Hotline).

Sekian. Wassalam.

“BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAN, BERAMAL KERANA ALLAH”

KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL, KMN
Ketua Pengarah Khidmat Malaysia
Tarikh : 1 Jamadil Akhir 1445H / 14 Disember 2023

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *