Kes Covid-19 meningkat sekali ganda, capai 12,757 dalam seminggu

Jumlah kes baharu Covid-19 meningkat daripada 6,796 kepada 12,757 kes dalam tempoh seminggu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Menurutnya, peningkatan itu seiring dengan peningkatan kes global pada setiap akhir tahun.

Majoriti kes Covid-19 mengalami gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital, katanya lagi.

“Secara keseluruhan, peratus kes kematian Covid-19 dari 25 Jan 2020 sehingga 9 Dis 2023 adalah 0.72%,” katanya, dalam kemas kini bagi minggu berakhir 9 Dis.

Manakala bagi kapasiti hospital pula, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan bagi penggunaan katil bukan kritikal meningkat kepada 1.4%. Ini termasuk pesakit yang disyaki Covid-19, katanya.

Penggunaan katil Unit Rawatan Rapi turut meningkat 1.4%, manakala peratusan pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan meningkat kepada 0.5%.

“Walaupun terdapat peningkatan kes Covid-19, secara keseluruhan keadaan semasa masih dalam keadaan terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada,” katanya.

Sebanyak 26 varian Omicron baharu turut dilaporkan, melibatkan 21 diklasifikasikan sebagai varian of Concern (VOC) dan lima kes Variant of Interest (VOI).

“Sehingga kini, tiada varian baharu yang dikesan. Varian yang masih menular adalah varian Omicron dengan subvarian XBB.1.16, XBB.1.5, dan EG.5.

“Varian ini, walaupun diketahui mempunyai kadar kebolehjangkitan yang tinggi, tetapi ianya tidak menyebabkan kes yang teruk,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *