Air Sungai Golok cecah 10 meter, penduduk perlu siap sedia pindah
RANTAU PANJANG: Penduduk di sekitar Rantau Panjang sudah boleh bersiap-sedia untuk berpindah pada bila-bila selepas air Sungai Golok di sini melepasi paras bahaya dan mencecah 10.10 meter setakat pukul 2.45 petang tadi.
Tinjauan di sini mendapati limpahan air Sungai Golok mula masuk ke Kampung Kedai Lama dan sekitar sejak pukul 2.30 petang tadi.
Situas itu menyaksikan penduduk mula berkemas dan ada dalam kalangan mereka mengambil tindakan awal dengan meninggalkan rumah untuk ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 2.
Bagaimanapun, urus niaga di zon bebas cukai Rantau Panjang masih rancak beroperasi setakat ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang Penolong Penguasa Bomba Sapawi Setapa berkata, penduduk yang tinggal di sepanjang Sungai Golok sudah boleh membuat persiapan awal untuk berpindah.
Menurutnya, bomba menjangkakan penduduk dijangka akan berpindah bermula malam ini berpandukan kepada keadaan cuaca terkini serta peningkatan paras air Sungai Golok.
“Siap sedialah lebih awal, ia penting bagi mengelakkan situasi kelam kabut berlaku semasa kerja-kerja pemindahan dijalankan.
“Pada masa saya nasihatkan ibu bapa memantau keadaan anak mereka supaya tidak bermain banjir” katanya.
Sementara itu seorang penduduk Nazif Aziz 44, mengakui paras air Sungai Golok hari ini naik agak laju berbanding sebelum ini.
Katanya, ekoran itu dia sudah membuat persiapan awal untuk bagi mengelakkan keadaan kelam kabut.
“Semua barang-barang telah dipindahkan ke tempat tinggi,” ujarnya.