Sembilan rumah terjejas dibadai ribut

JOHOR BAHRU: Sembilan keluarga di Taman Sri Pulai di sini, terpaksa meninggalkan rumah buat sementara selepas kediaman mereka rosak dipukul ribut, petang tadi.
Kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu berlaku ketika hujan lebat berlarutan yang melanda daerah ini.
Menurut Ketua Pemuda UMNO Taman Sri Pulai, Muhammad Firdaus Jantan, kediaman terjejas membabitkan rumah teres kos rendah di Jalan Batai 11 dan Jalan Batai 12, taman berkenaan.
Katanya, lebih 30 penghuni yang tinggal di sembilan rumah terbabit antaranya termasuk warga emas, ibu tunggal dan bayi baharu lahir.
“Hujan lebat berserta ribut kencang berlaku hampir dua jam dan sembilan rumah terjejas mengalami kerosakan agak teruk. Kebanyakannya bumbung tercabut dan siling runtuh sehingga menyebabkan air hujan memasuki rumah.
“Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden berkenaan. Selepas hujan berhenti ada yang cuba mengemas kediaman dan ada terpaksa menyewa ‘homestay’ berdekatan, selain ada yang pulang ke kampung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Hadir meninjau keadaan keluarga dan kediaman terjejas ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad yang turut menyampaikan sumbangan peribadi kilat untuk setiap keluarga terjejas bagi membantu mereka.
Menurut Pandak, beliau sudah menghubungi semua agensi terbabit untuk melihat keadaan yang berlaku bagi membolehkan tindakan segera diambil.
“Esok, Yayasan Penyayang Iskandar Puteri akan turun padang membantu dalam kerja mengemas dan membaik pulih kediaman terjejas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, dua laporan banjir kilat diterima Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Johor Bahru di Kampung Poh Chi Ling, Batu 10 dan Kampung Sepakat Baru dekat Skudai di sini, pada jam 7 petang
dan 8 malam tadi.
Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Johor Bahru APM, dalam kenyataan berkata, dilaporkan punca kejadian banjir kilat adalah akibat hujan lebat yang melebihi tempoh dua jam petang tadi.
“Kita menerima panggilan daripada Penghulu Kampung kedua-dua kawasan berhubung banjir kilat yang berlaku dan tinjauan terus dilakukan di lokasi.
“Tiada keperluan untuk membuka PPS (pusat pemindahan sementara) dan cuaca juga kini dilaporkan tidak hujan serta air sudah surut,” katanya.