Khidmat Malaysia, Jabatan Amal bantu mangsa ribut

JERLUN: Sebanyak 20 rumah terjejas akibat puting beliung yang melanda Jerlun kira-kira jam 2 petang semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Hitam, Azhar Ibrahim berkata, kejadian melibatkan tiga kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota SiPuteh.
“Kampung yang terlibat iaitu Pida 2 Jalan Sanglang, Pida 3 Padang Kilang dan Pida 4 Baru,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya pasukan sukarelawan dari Khidmat Malaysia dan Yayasan Amal Malaysia (JAM) turun padang membantu mangsa terlibat petang ini.
Kata beliau juga urusan bantuan kepada mangsa-mangsa ribut berkenaan diurus Pusat Khidmat Parlimen Jerlun.
“Ahli Parlimen Jerlun, Dr Abdul Ghani Ahmad sekarang berada di luar negara mewakili Parlimen Malaysia. Semua urusan bantuan dilakukan petugas di pusat khidmat berkenaan,” katanya.
Ketua Dewan Muslimat PAS Jerlun, Ustazah Fatimah Wan Teh pula berkata, pihaknya menyediakan makanan kepada mangsa bermula pagi tadi.
Katanya, penyediaan makanan diurus petugas Halwa DUN Kota SiPuteh.
Sementara itu difahamkan sebahagian mangsa ribut tersebut menumpang sementara di rumah saudara mara dan di enap desa berdekatan. – HARAKAHDAILY 30/10/2023