Banjir kilat di Bandar Baharu, tiada PPS dibuka

BANDAR BAHARU: Sebanyak 37 rumah penduduk di tiga kampung di daerah ini dilanda banjir kilat, hari ini.

Sebanyak 16 rumah membabitkan 62 mangsa di Kampung Banggol Rashid dimasuki air, manakala 21 rumah di kampung itu serta Kampung Kuala Selama dan Kampung Kuala Dingin dinaiki air di kawasan halaman rumah.

Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin, berkata limpahan air berlaku daripada Sungai Selama, Sungai Mahang dan Sungai Dingin akibat hujan lebat sejak semalam.

Beliau berkata, bagaimanapun tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di daerah itu setakat ini.

“Keadaan air semakin surut secara perlahan di Kampung Banggol Rashid berikutan kemasukan air berlebihan dari Sungai Selama ke kawasan berkenaan manakala Kampung Kuala Selama pula air sudah surut sepenuhnya di bahagian dalam rumah.

“Kampung Kuala Dingin pula menunjukkan trend air menurun tetapi kebarangkalian paras air akan meningkat berikutan dengan keadaan cuaca terkini yang hujan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Rahim berkata, anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Bandar Baharu masih melakukan pemantauan di kawasan berisiko banjir di daerah ini.

Beliau turut mengingatkan penduduk supaya menghubungi pasukan penyelamat sekiranya paras air meningkat di kawasan kediaman mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *