Perangi jerebu rentas sempadan dengan pilihan beretika, gesa pakar alam sekitar
Kekurangan insentif bagi pengeluar minyak sawit dan syarikat perladangan untuk mendapatkan pensijilan kemampanan menjadi antara punca amalan penyebab jerebu masih berterusan, kata pakar alam sekitar Helena Varkkey daripada Universiti Malaya (UM).
“Orang ramai harus mencari logo Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) pada produk minyak sawit untuk memastikan mereka tidak membeli daripada syarikat yang terlibat dalam amalan tidak mampan, seperti penebangan hutan di tanah gambut,” kata Varkey yang juga seorang ahli sains politik.
Dalam laporan yang ditulis bersama oleh Varkkey, profesor itu mengaitkan masalah jerebu rentas sempadan yang berterusan di seluruh Asia Tenggara dengan penebangan hutan dan pengeringan tanah gambut.
Apabila tanah gambut dibersihkan untuk pertanian, ia menjadi kering dengan cepat, membebaskan sejumlah besar karbon dioksida ke atmosfera, menjadikan tanah gambut sangat mudah terbakar.
Laporan itu, yang diterbitkan pada 2022, juga mendakwa bahawa kerosakan yang berlaku ke atas tanah gambut, ditambah dengan cuaca lebih kering akibat kitaran El Nino yang berulang, memburukkan lagi kebakaran yang dikaitkan dengan pembukaan tanah untuk kegunaan pertanian.
Bagaimanapun, Varkkey berkata, pengaruh faktor antropogenik – perubahan persekitaran disebabkan atau dipengaruhi oleh manusia – terhadap keterukan jerebu semakin besar.
“Episod jerebu pada tahun-tahun bukan kemarau menyaksikan jerebu menjadi terasing daripada kitaran iklim ini, yang menunjukkan bahawa manusia menjadi pemacu lebih penting dalam perubahan alam sekitar berbanding corak cuaca iklim,” kata Varkkey.
Pada Julai, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan fenomena El Nino dijangka memberi kesan lebih ketara pada awal 2024 apabila keamatannya mencapai kemuncak.
“Ini boleh menyebabkan peningkatan suhu dan pengurangan hujan, serta kejadian jerebu rentas sempadan jika pembakaran hutan dan tanah gambut tidak dikawal,” kata MetMalaysia dalam kenyataan.
Varkkey menggesa orang ramai untuk membeli produk minyak sawit dan akasia dengan RSPO atau pensijilan kemampanan lain yang jelas.
Katanya, keputusan pembelian beretika sebegini akan menjadi insentif kepada syarikat-syarikat untuk mendapatkan pensijilan kemampanan.