Jerebu mungkin berterusan, atau mungkin lebih teruk, kata ahli akademik

Lebih 10 titik panas di selatan Kalimantan dan selatan Sumatera dikenal pasti punca jerebu di Malaysia, kata seorang ahli akademik.
Pensyarah Kanan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia, Yusoff Ishak berkata faktor arah angin serantau, ditambah kekurangan hujan dalam waktu terdekat dijangka menyebabkan jerebu berterusan atau mungkin bertambah teruk.
Katanya, laman sesawang Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) memaparkan hampir semua stesen pemantauan di Semenanjung menunjukkan kualiti udara tahap sederhana.
“Bagaimanapun stesen di bandar-bandar kelihatan menghampiri keadaan tidak sihat, jika tiada perubahan kepada situasi semasa.
“Sehubungan itu, pihak berkaitan perlu mengambil tindakan proaktif, sebagai contoh pengurusan sekolah perlu mengambil kira impak terhadap pelajar, jika melaksanakan aktiviti luar kelas dan nasihat pemakaian pelitup muka oleh orang awam yang alah dengan jerebu.
“Kerajaan perlu menggerakkan inisiatif peringkat Asean dalam memastikan keadaan jerebu tidak bertambah teruk,” katanya.
Terdahulu, akhbar itu melaporkan mercu tanda Jambatan Pulau Pinang hampir tidak kelihatan akibat jerebu ketika dirakam di Batu Uban pada 11 pagi tadi.
Empat stesen kaji cuaca di Pulau Pinang mencatat bacaan indeks pencemaran udara (IPU) tahap sederhana, dengan bacaan IPU tertinggi di Seberang Jaya (75).
Semakan IPU terkini dalam talian setakat 7 malam menunjukkan 10 stesen merekodkan kualiti udara sihat (0-50) dan 57 stesen di tahap sederhana (51-100).