Banjir melanda selatan Myanmar, ribuan terpaksa dipindahkan

YANGON: Ribuan penduduk dipindahkan ekoran hujan lebat berterusan dan sungai mula melimpah, menyebabkan banjir di beberapa perbandaran di selatan Myanmar.
Aung Myat Kyaw Sein, jurucakap kerajaan Negeri Mon, berkata kepada Xinhua semalam, di perbandaran Belin di Mon State saja, kira-kira 6,298 orang sudah dipindahkan ke 25 pusat perlindungan.
Katanya, mangsa banjir di pekan Belin termasuklah 2,978 lelaki dan 3,320 perempuan daripada 1,305 isi rumah dari lima kawasan dan beberapa kampung di pekan itu.
The Mirror Daily semalam melaporkan, di perbandaran Myawaddy pula, seramai 792 orang, termasuk 376 lelaki dan 416 perempuan, daripada 176 isi rumah diselamatkan manakala lebih 300 orang di perbandaran Hpa-an di Negeri Kayin turut dipindahkan ke pusat perlindungan.
Selain itu, laporan sama menyatakan hampir 200 orang di perbandaran Thaton di negeri Mon turut dipindahkan ke pusat perlindungan.
Gambar yang dikongsi di media sosial oleh organisasi penyelamat tempatan menunjukkan sebahagian lebuh raya utama di pekan Belin ditenggelami akibat limpahan air, semalam.
Jabatan Meteorologi dan Hidrologi Myanmar semalam turut menaikkan amaran risiko banjir dan menekankan bahawa paras sungai di perbandaran Hpa-an, Myawaddy, Belin dan Mogaung sudah melebihi paras bahaya.
Biro cuaca meramalkan bahawa hujan atau petir berkemungkinan akan melanda kebanyakan bahagian negara Asia Tenggara sehingga pagi Ahad. – AGENSI