Kelantan nafi agih bantuan banjir kepada mangsa tertentu sahaja

TANAH MERAH: Kelantan menafikan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa peruntukan bantuan banjir dari Kerajaan Pusat tidak diberi secara menyeluruh kepada mangsa banjir di Kelantan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, sebaliknya berkata bantuan berkenaan sudah diserahkan kepada kesemua mangsa banjir yang terdapat dalam senarai.

“Setakat ini bantuan berkenaan sudah disampaikan kepada semua mangsa yang terbabit sebagaimana disenaraikan.

“Bantuan berkenaan diagihkan terus kepada mangsa melalui Pegawai Jajahan dan Daerah masing-masing.

“Kita agih tanpa mengambil kira fahaman politik, asalkan mereka ada dalam senarai. Bagi mereka yang berpindah dapat bantuan lebih awal dan yang tidak berpindah mereka dapat sedikit lewat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Ceramah dan Pelancaran Program Perikatan Nasional (PN) “Kelantan Maju Rakyat Sejahtera”, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan PAS didakwa tidak berlaku adil berhubung agihan bantuan kepada mangsa banjir negeri Disember lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata agihan hanya diberikan kepada penyokong PAS.-BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *