31 mangsa terkorban, 40 masih hilang!

Kuala Lumpur: “Ada mangsa tidak sempat lari menyelamatkan diri dan ditanam hidup-hidup di dalam lumpur banjir. Bencana banjir besar yang berlaku turut mengakibatkan beribu kediaman runtuh,” ujar Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Zulkifli Wahijan.

Menurutnya, kejadian hujan lebat dan banjir besar yang melanda Afghanistan sejak Ahad lalu mengorbankan sekurang-kurangnya 31 mangsa serta menyebabkan berpuluh mangsa lain masih hilang.

“Banjir melanda ibu kota Kabul, wilayah Maidan Wardak dan Ghazni di barat Kabul. Bagaimana majoriti mangsa yang terkorban adalah di barat Kabul dan Maidan Wardak.

“Bencana dahsyat terbaru di Afghanistan ini menambahkan lagi krisis kemanusiaan sedia ada selepas negara berkenaan pernah dilanda banjir besar, musim sejuk melampau dan gempa bumi pada Jun tahun lalu,” katanya.

“Beratus-ratus rumah penduduk mengalami kerosakan atau musnah. Mangsa yang hilang dipercayai masih berada di bawah runtuhan rumah yang runtuh,” katanya.

Menurutnya, melalui maklumat disalurkan Pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) Humanitarian Assistance Society (HAS) Dr Muhammad Haroon Khatibi, banjir besar yang melanda sejak Ahad lalu menyebabkan ribuan mangsa kehilangan tempat tinggal selain berdepan masalah kekurangan bekalan makanan dan keperluan asas lain terutama di Jalrez, Chak, Sayedabad, Nirkh dan Jaghatu.

“Banjir besar itu turut menyebabkan 31 kes kematian, 74 cedera dan 40 mangsa masih hilang. Tidak hanya rumah, malah kawasan ladang pertanian turut musnah.

“Kebanyakan mangsa kini bergelut dengan bencana alam yang dahsyat itu yang turut menghanyutkan rumah penduduk serta kemudahan infrastruktur lain.

“Binaan rumah mereka yang kebanyakannya didirikan menggunakan bahan asas batu, tanah dan lumpur menyebabkan ia mudah runtuh apabila dirempuh arus banjir,” katanya.

Zulkifli berkata, MCM amat bersimpati dan kerap menyalurkan bantuan kemanusiaan musim sejuk, makanan dan keperluan asas kepada rakyat Afghanistan sejak tahun 2019.

“Tragedi terbaru ini menyebabkan masyarakat Islam Afghanistan sekali lagi diduga dengan ujian berat. Oleh itu MCM bersedia menyalurkan bantuan awal makanan, keperluan asas dan barangan kebersihan kepada mangsa di negara itu bernilai RM50,000.

“MCM akan berusaha mengumpulkan dana tambahan sebanyak RM200,000 untuk membantu penduduk di Afghanistan mengharungi cabaran terbaru ini,” katanya.

Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada Muslim Care Malaysia melalui nombor akaun Maybank (564490413882), Bank Islam (14014010147470) atau menghubungi talian 0169978323 (Johari Ismail), 0134886447 (Ahmad Safwan) atau 0192049434 (Zuriati Ya’akob) untuk maklumat lanjut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *