Selesaikan masalah sampah dalam seminggu!
KAPAR: Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali, memberi tempoh seminggu kepada kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah pelupusan sampah secara haram di Taman Klang Perdana dekat sini.
“Kalau boleh, hari ini juga saya gesa kerajaan selesaikan masalah ini!” katanya
Beliau melahirkan rasa kecewa terhadap sikap kerajaan negeri yang masih gagal menyelesaikan masalah itu yang mengganggu kehidupan penduduk taman itu.
“Kerajaan sepatutnya memikirkan kesihatan penduduk Taman Klang Perdana, lebih-lebih lagi pembakaran sampah begini dikhuatiri boleh menimbulkan masalah yang membahayakan kesihatan seperti masalah berkaitan penafasan,” katanya pada sidang media di Taman Klang Perdana, hari ini.
Turut hadir Yang Dipertua PAS Kawasan Kapar, Noor Najhan Mohamad Salleh dan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Gombak, Muhamad Sufi Kamari serta penduduk Taman Klang Perdana.
Sementara itu, Noor Najhan meminta semua pihak bersatu bagi menangani masalah di Taman Klang Perdana yang tidak jauh berbeza berbanding di Kampung Sungai Serdang.
“Beberapa agensi kerajaan juga perlu terlibat secara bersepadu kalau kita benar-benar ingin menyelesaikan masalah ini, manakala pemilik kawasan itu sendiri perlu bekerjasama,” katanya.
Beliau turut menegur pihak berkuasa tempatan yang mempunyai kuasa melihat pengurusan kawasan itu sendiri yang tanah tersebut boleh dirampas oleh kerajaan negeri jika disalahgunakan.
“Ini akan memberikan pemilik tanah itu tanggungjawab terhadap apa sahaja yang dilakukan di tanah itu,” ujarnya.
Namun, katanya masalah itu tidak akan dapat diselesaikan jika agensi kerajaan berkaitan bukan sahaja enggan bertanggungjawab, tetapi menyatakan masalah itu adalah di bawah bidang kuasa agensi lain. – HARAKAHDAILY 24/7/2023